
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Kerajaan akan terus memastikan kestabilan politik negara demi kepentingan menjaga kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia dalam berdepan pascapandemik dan fasa peralihan ke endemik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata pendekatan ‘tembok besi’ antara kerajaan dan pembangkang tidak lagi boleh diambil kerana kestabilan politik demi menjaga kebajikan Keluarga Malaysia adalah lebih penting.
“(Kerajaan) pastikan suasana politik negara stabil, walaupun kita (kerajaan) terpaksa berkorban dengan bekerja, berkongsi dan merancang bersama pihak lawan (pembangkang) yang dahulunya kita dipisahkan dengan ‘tembok besi’ antara kerajaan dan pembangkang.
“Ego mesti ditanam dalam-dalam, berpuak-puak yang berlebih-lebihan mesti ditolak jauh-jauh, politik solo, semberono, rasa segala-galanya boleh dibuat sendiri bukan formula yang sesuai untuk sekarang… kita perlukan prinsip al-Ta’ayush atau kebersamaan dan muafakat,” katanya pada majlis pelancaran logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri, hari ini.
Mengenai Hari Kebangsaan tahun ini Annuar berkata ia akan disambut dengan pembaharuan iaitu melibatkan penyertaan di peringkat komuniti dan keluarga supaya tema dan konsep sambutan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang diterapkan kali ini, dapat dirakyatkan sepenuhnya.
Beliau berkata ini penting kerana sambutan tidak seharusnya hanya bersifat majlis besar yang dilaksana di peringkat nasional, sebaliknya perlu menonjolkan cara setiap keluarga atau komuniti dari pelbagai latar belakang dalam menyambut hari bersejarah negara.
“Kita juga akan menggerakkan unit-unit yang ada dalam rangkaian komuniti Keluarga Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain agar semuanya mengambil inisiatif untuk menggerakkan dan mengadakan sambutan peristiwa ini di peringkat akar umbi.
“Malah kalau boleh kita jalankan kempen agar sambutan berlaku juga di peringkat keluarga, mungkin sebagai contoh mewujudkan satu pertandingan di TikTok untuk memperlihatkan cara-cara Keluarga Malaysia kita menyambut Hari Kebangsaan,” katanya. – Bernama