
Sehingga 20 September 2022, 37 daripada 59 pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi memerlukan alat bantuan pernafasan.
Tidak ada lagi pesakit yang masih dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sehingga semalam (20 September 2022), lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan hanya dua pesakit ditempatkan di PKRC pada Isnin.
Sementara itu, jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Selasa, 20 September 2022) meningkat sedikit berbanding Isnin, namun masih di bawah 2,000 kes buat hari kelima berturut-turut.
Data menunjukkan dalam tempoh itu sebanyak 1,667 kes baharu dilaporkan, berbanding 1,307 kes pada Isnin.
Jumlah itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 sejak wabak itu melanda Malaysia pada Januari 2020 hingga semalam meningkat kepada 4,821,864 kes, dengan 4,760,825 pesakit telah sembuh, termasuk 2,028 pesakit pulih semalam.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 1,129 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, diikuti 321 kes (penerima dua dos); 205 kes (individu tidak divaksinasi); dan 12 kes (individu yang belum lengkap divaksinasi).
KKM juga memaklumkan sehingga kini, sebanyak 24,715 kes masih aktif, turun sedikit berbanding 25,083 yang dicatat pada Isnin. Jumlah itu termasuk, 23,577 pesakit yang masih menjalani kuarantin di rumah (23,866 pada Isnin).
Jumlah pesakit yang dirawat di hospital pula turun semula kepada 1,079, berbanding 1,160 pesakit pada Isnin, manakala seramai 59 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (55 pada Isnin), dengan 37 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (36 pada Isnin).
Berikut adalah jumlah kes baharu dan kumulatif positif Covid-19 mengikut negeri sehingga semalam:
- Selangor – 358 (1,471,426);
- Kuala Lumpur – 319 (433,744);
- Johor – 51 (393,350);
- Sabah – 158 (393,341);
- Sarawak – 132 (314,746);
- Kedah – 109 (309,174);
- Pulau Pinang – 77 (296,510);
- Kelantan – 79 (253,217);
- Perak – 170 (226,123);
- Negeri Sembilan – 52 (221,193);
- Pahang – 37 (177,161);
- Melaka – 57 (134,663);
- Terengganu – 33 (129,401);
- Putrajaya – 26 (27,185);
- Labuan – 2 (22,234); dan
- Perlis – 7 (18,396).
KKM juga memaklumkan tujuh pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, semalam, naik dua kes berbanding lima kematian yang dicatat pada Isnin.
Dua daripada kes itu melibatkan kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Kedah dan Selangor masing-masing merekodkan dua kes kematian, diikuti masing-masing satu di Johor, Negeri Sembilan dan Sabah.
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian akibat komplikasi Covid-19 sejak Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 36,324 kes, termasuk 7,721 kes BID.