Tiada lagi imbas MySejahtera, kerajaan pantau keadaan selepas sempadan dibuka

Sebarang keputusan melibatkan kewajipan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera akan diteliti selepas kerajaan memantau keadaan sebaik pembukaan sempadan bermula 1 April ini.

Jelas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, penelitian perlu dijalankan bagi melihat sekiranya berlaku perubahan pada pola mobiliti dan jangkitan Covid-19 negara selepas kelonggaran berkuatkuasa mulai Jumaat ini.

“Kita nak tengok dengan pembukaan sempadan dan kelonggaran yang kita beri bermula 1 April jika ada perubahan dalam pola mobiliti dan pola jangkitan untuk tempoh beberapa minggu.

“Saya nak tunggu sebentar (selepas) buka sempadan ini dengan adanya kelonggaran dan (aktiviti) berbuka puasa dan sebagainya.

“Saya nak tengok kalau ada apa-apa perubahan dari segi mobiliti dan jangkitan mana jangkitan itu berlaku,” katanya dipetik laporan media.

Sekiranya keadaan sudah kembali dilihat terkawal dan tiada risiko penularan yang tinggi, kerajaan akan mengumumkan kewajipan mengimbas MySejahtera akan dihentikan.

Sebelum ini, kerajaan juga sudah memansuhkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemeriksaan suhu badan dan buku rekod daftar masuk bermula 11 Februari lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, pemilik premis tidak lagi diwajibkan menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod di pintu masuk premis selepas pemansuhan itu.

Bagaimanapun, daftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan.

Penggunaan aplikasi MySejahtera untuk merekodkan kehadiran individu di lokasi atau premis tertentu diwajibkan bagi penduduk di kawasan capaian internet luas sejak Februari tahun lalu berikutan sikap orang ramai tidak mencatat nama dan nombor telefon yang betul apabila melakukannya secara manual.

Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka memuktamadkan rundingan dengan syarikat swasta berhubung isu pemilikan aplikasi MySejahtera dalam tempoh kurang sebulan.

Ketika ini, katanya, ia masih dalam proses rundingan dengan syarikat swasta yang mengendalikan platform perisian aplikasi itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR