Tiada kompromi tempoh kuarantin pengembara: KP Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan berkompromi terhadap rayuan pengecualian dan memendekkan tempoh kuarantin wajib oleh individu yang pulang dari luar negara atas sebab tertentu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM perlu kekal serius dalam pelaksanaan polisi kuarantin ini bagi memastikan risiko jangkitan Covid-19 dari luar negara dapat diminimakan.

Bagaimanapun beliau berkata sebarang permohonan dan rayuan perlu melalui proses penilaian yang sangat ketat.

“KKM memahami pelbagai situasi peribadi yang mereka hadapi, namun pada masa yang sama KKM perlu kekal serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa penentuan tempoh kuarantin wajib itu adalah berdasarkan kepada penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa selain untuk mengelak penularan varian of concern (VOC) dan varian of interest (VOI).

“Adalah diingatkan bahawa pelanjutan tempoh pengawasan ini adalah sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dari luar negara tidak berlaku terutamanya yang melibatkan VOC dan VOI, di mana ia didapati lebih cepat merebak serta menyebabkan risiko kematian yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, dan Pakistan adalah 21 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

“Pengembara dari lain-lain negara, dikehendaki untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang diwartakan oleh Kerajaan.

“Namun, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama tujuh hari lagi, sekiranya terdapat keperluan berdasarkan penilaian risiko yang telah dijalankan kepada pengembara tersebut pada hari ke-14. Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di pusat kuarantin yang sama,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata KKM sentiasa mengambil maklum berkenaan perkembangan situasi semasa jangkitan Covid-19 di luar negara, termasuk lebih 50 peratus negara di dunia telah melaporkan penularan VOC dalam komuniti.

Beliau memaklumkan antara 20 Jun hingga 22 Jun lalu, enam kes VOC dilaporkan membabitkan lima varian Beta dan satu varian Delta.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 189 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 173 kes adalah VOC manakala 16 kes adalah VOI,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR