Tiada kluster baharu dikesan hari ini, tapi kes di lima negeri meningkat

Lima negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, namun kekal di bawah paras 500 kes.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tidak ada kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam itu, kali pertama sejak lebih setahun lalu.

Kali terakhir negara tidak merekodkan kluster baharu harian ialah pada 31 Oktober 2020. Bagaimanapun, beliau memaklumkan terdapat 266 kluster yang masih aktif sehingga hari ini.

Statistik daripada Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri yang dikeluarkan hari ini menunjukkan Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi, namun lebih rendah berbanding semalam.

Kes di negeri itu hari ini turun kepada 1,266 jangkitan, berbanding 1,601 kes yang dicatat dalam tempoh sama semalam.

Lima negeri yang merekodkan peningkatan kes harian hari ini ialah Kelantan sebanyak 499 kes berbanding 389 kes semalam, menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu sebanyak 146,891 kes dengan 139,777 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, Kelantan merekodkan 5,557 kes aktif dengan 4,335 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 655 ditempatkan di PKRC; 524 dimasukkan ke hospital; dan 43 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 21 yang memerlukan alat bantuan pernafasan. Seramai 1,092 pesakit Covid-19 meninggal dunia.

Empat lagi negeri yang mencatat peningkatan jangkitan baharu Covid-19 ialah Kedah sebanyak 366 kes, berbanding 304 semalam; diikuti Pulau Pinang (325 kes baharu, 305 semalam); dan Labuan (17 kes baharu, 12 semalam).

Melaka yang kini berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada 20 November ini turut merekodkan peningkatan jangkitan baharu daripada 198 semalam kepada 216 kes hari ini.

Berdasarkan rekod laman sesawang KKM, COVIDNOW, sejak awal tahun lalu hingga tengah hari tadi Melaka merekodkan 67,874 kes positif, dengan 64,168 pesakit disahkan sembuh.

Sehingga semalam juga, Melaka merekodkan 2,726 kes aktif, dengan 2,245 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 325 ditempatkan di PKRC; 141 dimasukkan ke hospital; dan 15 pesakit dirawat di ICU, termasuk tujuh yang memerlukan alat bantuan pernafasan. Negeri itu juga merekodkan 914 kes kematian.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata sebanyak 104 kes atau 2.0 peratus daripada 5,162 jangkitan baharu hari ini terdiri daripada pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 98.0 peratus atau 5,058 kes lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

Seramai 5,019 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,451,216 kes, berbanding 2,546,309 kumulatif kes positif.

Sebanyak 5,151 daripada keseluruhan kes hari ini melibatkan jangkitan tempatan yang turut membabitkan 183 rakyat asing, dan 11 kes import, termasuk tiga bukan warganegara Malaysia.

Seramai 524 pesakit kini dirawat di ICU dengan 265 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, kata Dr Noor Hisham.

BERITA BERKAIT
POPULAR