
Komen lama "Zamani Ibrahim" telah dikongsi semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan reaksi.
Tiada kertas siasatan dibuka mengenai komen oleh pengguna Facebook “Zamani Ibrahim” kerana ia adalah pandangan peribadinya sendiri, kata polis.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis telah menerima aduan berhubung komen itu pada 18 Ogos lalu.
“Polis menerima aduan berhubung kenyataan terhadap Datuk Seri Najib Razak oleh pengguna Facebook, Zamani Ibrahim.
“Kenyataan itu dibuat pada 11 Mei 2018 dan merupakan pandangan politik peribadi beliau sendiri.
“Tidak ada kesalahan yang dilakukan. Justeru, polis tidak membuka kertas siasatan berhubung aduan itu,” katanya menurut The Star.
Tambahnya, komen lama itu telah dikongsi semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan reaksi.
Terdahulu, dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan hari ini berkaitan kes SRC International Sdn Bhd, Najib memohon Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuannya.
Dalam afidavid sokongannya Najib mendakwa terdapat hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh seorang individu bernama Zamani Ibrahim pada 11 Mei 2018.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa individu bernama Zamani Ibrahim adalah suami kepada Ketua Hakim Negara yang mengetuai panel hakim yang mendengar rayuan terakhir saya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan,” menurutnya dalam afidavit itu.
Najib berkata perkembangan baharu itu amat membimbangkan dengan mengambil kira fakta bahawa Zamani secara jelas mempunyai pandangan yang negatif terhadap kepimpinan beliau di negara ini sebagai Perdana Menteri dan telah menyimpulkan bahawa beliau menyalur keluar dana-dana harta negara ke dalam akaun peribadinya.
Beliau juga berkata Zamani, sebagai suami Pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan itu, mungkin mempengaruhi pemikiran Tengku Maimun terhadap tuduhan atas kebersalahannya.
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak sebelum panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, setelah didapati bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd.