Tiada kes Covid-19 baharu di Labuan

Wilayah Persekutuan Labuan mencatat sejarah buat beberapa bulan kebelakangan ini apabila dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi tidak merekodkan jangkitan baharu Covid-19.

Namun, data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, menunjukkan Perlis terus merekodkan lonjakan jangkitan Covid-19 apabila dalam tempoh 24 jam itu sebanyak 61 kes dicatatkan, berbanding 50 kes pada Jumaat, 23 kes (Khamis) dan 29 kes (Rabu).

Data terbaharu itu juga menunjukkan dua negeri di Pantai Timur merekodkan lonjakan kes dalam tempoh itu. Kelantan merekodkan 1,370 jangkitan berbanding 1,088 pada Jumaat dan 972 kes (Khamis), manakala Terengganu mencatatkan 560 kes baharu berbanding 440 kes (Jumaat).

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam itu jangkitan Covid-19 di seluruh negara turun sedikit kepada 20,670 kes berbanding 21,468 kes yang direkodkan semalam.

Katanya, angka terbaharu jangkitan harian itu menjadikan keseluruhan kumulatif sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada awal tahun lalu kepada 1,284,353 kes.

Berdasarkan data dikeluarkan KKM, tujuh negeri merekodkan peningkatan kes berbanding semalam.

Negeri berkenaan ialah Sarawak sebanyak 725 kes berbanding 715 kes semalam; Sabah naik kepada 1,752 kes (1,654 kes semalam); Perlis daripada 50 kes semalam kepada 61 kes hari ini; Perak mencatatkan 1,003 kes (940 semalam); Kelantan (1,370 kes hari ini, 1,088 kes semalam); dan Terengganu daripada 440 kes semalam kepada 560 kes hari ini.

 

BERITA BERKAIT
POPULAR