
Program 'Jom Ziarah' mempelawa belia bukan Kristian melawat gereja anjuran Impact Malaysia - satu inisiatif di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan - telah dibatalkan.
Umat Islam tidak perlu menziarah rumah ibadat agama walaupun atas alasan apa sekalipun, kata Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
Mufti Pahang berkata program sedemikian dibimbangi akan merosakan akidah dan mengelirukan mereka terutamanya generasi muda, kecuali untuk tujuan berdakwah.
“Kenapa kita ke rumah ibadat lain, sepatutnya semua umat Islam perlu imarahkan masjid setiap kali waktu solat. Boleh kalau mahu pergi tapi dengan tujuan untuk berdakwah, memperkenalkan dan bercerita mengenai Islam kepada agama lain.
“Itu sepatutnya berlaku, bukan kita pula yang ditarik. Apabila ada orang ajak ke sesuatu tempat, ia jelas menunjukan terdapat usaha untuk memperkenalkan atau mendedahkan perkara tersebut kepada individu lain,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Menurut Abdul Rahman lagi, haram bagi umat Islam masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam seperti gereja, kuil dan sebagainya.
Terdahulu, media melaporkan, program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang menjadi kontroversi adalah satu inisiatif di bawah ‘Projek Artikel 11’ diterajui Impact Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Bagaimanapun, poster asal program tersebut yang menjemput belia bukan Kristian sudah ditukar dengan poster lain susulan kontroversi berhubung isu tersebut, namun semalam pihak penganjur mengumumkan pembatalan program tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini.
Tambah Abdul Rahman, tiada istilah memberikan pemahaman kepada belia bahawa semua agama mempunyai persamaan.
“Saya juga berpendapat sekiranya aktiviti itu diteruskan, ia akan menjauhkan umat Islam daripada agama Islam.
“Oleh itu, program sebegini bukan sahaja harus dihentikan malah perlu diambil tindakan undang-undang kerana ia adalah satu kesalahan yang boleh didakwa,” jelasnya lagi.
Beliau turut menjelaskan, sebagai negara Islam, hanya agama Islam dibenarkan untuk berdakwah namun menjadi satu kesalahan sekiranya ia dilakukan oleh penganut agama lain.