
Pelanggan beratur dan membeli barangan secara berhemah. – Gambar Agenda Daily, 30 Mei, 2021.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus mengimbangi antara sumber bekalan makanan diimport dan pengeluaran negara, bagi memastikan semua komoditi utama mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat di negara ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata berdasarkan pemantauan berterusan, didapati tiada perubahan ketara direkodkan dalam bekalan makanan.
“Walaupun terdapat pelbagai gangguan (dari luar negara), Malaysia mempunyai kelebihan sumber dalaman dan sumber import. Jadi, kita akan cuba mengimbangi bekalan mengikut keperluan rakyat.
“Akhir-akhir ini kita menghadapi beberapa faktor yang mengganggu bekalan atau pengeluaran contohnya kenaikan harga baja import, racun serangga dan lain-lain,” katanya ketika menjadi tetamu di Ruang Bicara Bahas terbitan Bernama TV yang disiarkan secara langsung malam tadi.
Program yang membincangkan tajuk ‘Sekuriti Makanan Negara: Pelan Tindakan dan Penguatkuasaan’ turut menampilkan panel jemputan lain iaitu Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam.
Selain itu, Badrul Hisham berkata kesan daripada pandemik Covid-19 juga, sedikit sebanyak telah mengubah landskap perniagaan dunia sekali gus turut mengganggu sumber utama bekalan makanan negara.
Katanya walaupun beberapa faktor itu ada memberi kesan kepada industri makanan dan ekonomi negara, namun MAFI tetap dengan pendirian bahawa tidak berlaku gangguan yang besar dari segi aspek bekalan makanan dan perkara itu telah dijelaskan kepada kerajaan.
“… ada laporan oleh media mengatakan bahawa ada komoditi tertentu tidak mencukupi di pasaran, contohnya ayam. Berdasarkan pemantauan kita tidak berlaku pengurangan yang ketara, pola (bekalan makanan) kita masih sama.
“Tetapi terdapat satu atau dua ladang yang terpaksa membuat sedikit pelarasaan kepada pengeluaran disebabkan beberapa perkara yang melibatkan aspek teknikal, dan perkara itu wajar dan perlu mereka lakukan. Mereka sudah memberikan notifikasi kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan KPDNHEP.
“Kita sudah bersedia dengan langkah-langkah tertentu untuk kita memastikan gangguan itu tidak memberikan kesan besar kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Azman berkata untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, KPDNHEP akan mendapatkan status keberadaan bekalan makanan setiap hari, dengan mengambil data daripada pemborong dan kilang di seluruh negara.
“Tetapi dalam proses tersebut, kadang-kadang terdapat gangguan atau faktor di luar jangka, contohnya barang atau bahan yang diimport tersebut tidak sampai daripada luar negara, ia akan menjejaskan bekalan.
“Jadi, pegawai-pegawai kami akan menyiasat perkara itu dan mencari kelompongan di manakah berlakunya ketiadaan barang yang dimaksudkan, untuk kami mengarahkan pembekalan itu dibuat supaya sesuatu kawasan itu dapat menikmati barang tersebut,” katanya. – Bernama