Tiada jalan lagi Najib elak mahkamah umum keputusan rayuan penjara, denda esok

Ramai yang sedang menunggu keputusan rayuan bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda terhadapnya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International (SRC), esok.

Dari peringkat Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan kini Mahkamah Rayuan, perbicaraan bekas Presiden UMNO itu sentiasa mendapat perhatian media dalam dan luar negara yang mendengar pelbagai pendedahan berkaitan kes yang dibicarakan.

Sehingga pada satu peringkat Najib mendakwa wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah sumbangan Arab Saudi, namun kenyataan itu dipatahkan pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan juga mengatakan Najib hanya mengada-adakan cerita selain pada masa sama mendedahkan perbelanjaan mewah yang dilakukan bekas PM itu ketika di luar negara.

SRC ialah satu daripada anak syarikat firma pelaburan milik penuh kerajaan 1MDB sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Kes bermula dengan Najib dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan kes bermula pada 4 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama. Najib ditangkap pada September 2018 setelah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika perbicaraan kesnya itu, Najib telah beberapa kali mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan, termasuk keputusan Mahkamah Tinggi menolak untuk mengeluarkan perintah melarang media dan orang awam daripada menerbitkan kenyataan berhubung merit kesnya.

Mahkamah Rayuan juga pernah membuat keputusan memihak kepada Najib termasuk untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah mengetuai pendakwaan.

Pada 27 Mac 2019, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan, sementara menunggu rayuannya berhubung permohonan interlokutorinya selesai.

Sehari setelah keputusan Mahkamah Persekutuan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 April bagi perbicaraan kes SRC Najib. Namun pada 1 April 2019, Najib memfailkan pula satu lagi rayuan (permohonan semakan) terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya menangguhkan perbicaraan kes berkaitan SRC.

Perbicaraan disambung pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat.

Pada 28 Julai 2020, Najib, Perdana Menteri keenam bermula 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia diheret ke mahkamah, dan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim yang mengendalikan kes itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Mohd Nazlan kemudian menjatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah, penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.

Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, hakim bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Ini bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon penangguhan hukuman sementara mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 2 Disember 2020 – Najib mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta itu.

Najib memohon supaya dibebaskan daripada kesemua tuduhan berkenaan, berkata Hakim Mohd Nazlan terkhilaf dalam fakta dan undang-undang apabila mensabitkan serta menjatuhkan hukuman bagi kesemua tuduhan terhadapnya.

Najib berkata, hakim itu terkhilaf dalam penemuannya apabila memerintahkan beliau dipanggil membela diri terhadap tujuh tuduhan berkenaan.

Beliau berkata, Mohd Nazlan terkhilaf apabila tidak dapat memahami nilai keterangan dan gagal menyedari perbezaan di antara fakta yang dibuktikan, fakta yang tidak dibuktikan, inferen yang patut dibuat dan yang tidak dibuktikan, cadangan serta dakwaan yang tidak dibuktikan.

Ketika prosiding di Mahkamah Rayuan itu, pihak pendakwaan memberitahu bahawa perbelanjaan mewah yang dibuat Najib di Itali dan Honolulu, Hawaii menunjukkan Ahli Parlimen Pekan itu mengetahui dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd telah dimasukkan ke dalam akaunnya.

Bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan juga menunjukkan Najib sengaja membutakan matanya mengenai asal usul dana tersebut dan ia tidak disangkal oleh pihak pembelaan.

Menurut Sithambaram, berdasarkan bukti yang dikemukakan, Najib telah membelanjakan RM42 juta itu sebaik sahaja ia dimasukkan ke dalam akaunnya.

“Adalah jelas bahawa perayu (Najib) telah menggunakan dana yang diperoleh daripada SRC International berdasarkan bukti yang dikemukakan. Tiada inferens lain yang boleh dibuat selain menunjukkan perbelanjaan perayu.

“Perbelanjaan yang dibuat menunjukkan beliau tahu dana RM42 juta dari SRC International telah dimasukkan ke akaun peribadinya. Sebagaimana dapatan hakim bicara, terdapat banyak fakta yang menunjukkan pengetahuan Najib berhubung dana tersebut termasuklah pengakuan perayu sendiri. Tiada sebarang keterangan atau bukti lain ditunjukkan oleh perayu atau sewaktu perbicaraan untuk menunjukkan sebaliknya,” kata Sithambaram.

Sewaktu perbicaraan, Najib mengakui isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor telah membeli barang kemas bernilai RM3,282,734.16 daripada butik De Grisogono di Itali, menggunakan kad kreditnya sebagai hadiah untuk isteri bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Ahmed Jassim Al Thani iaitu ahli perniagaan berketurunan kerabat Al Thani.

23 November lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya memberitahu keputusan rayuan Najib berhubung sabitan hukuman penjara dan denda itu akan diumumkan pada 8 Disember ini.

Sehari kemudian iaitu pada 24 November, Najib mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi menangguhkan tarikh keputusan berkenaan ke satu tarikh selepas 13 Disember kerana perlu menjalani kuarantin di rumah sekembalinya dari Singapura.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhan itu dan mengarahkan semua pihak hadir pada tarikh keputusan dibuat.

Tetapi, Najib terus berusaha untuk menangguhkan Mahkamah Rayuan membuat keputusan pada tarikh ditetapkan.

Pada 27 November lalu, bekas Presiden UMNO itu membuat laporan polis pula meminta siasatan sama ada bukti berkaitan kes mahkamahnya disembunyikan anggota penting pelbagai agensi kerajaan dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

Najib merujuk transaksi jutaan ringgit dikaitkan dengan saksi pendakwaan dalam kes 1MDB dan SRC yang dilaporkan atau disahkan baru-baru ini.

Pada 2 Disember bekas PM itu memfailkan pula permohonan untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan dengan mendakwa terdapat pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonannya, untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC dihadapinya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, memutuskan demikian selepas mendapati Najib gagal menunjukkan bukti itu adalah perlu dan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan ia diterima oleh mahkamah.

“Kami mendapati bukti tambahan tidak diperlukan untuk rayuan. Tiada keadaan luar biasa atau syarat luar biasa ditunjukkan untuk mahkamah mengambil keterangan tambahan dalam rayuan.

“Permohonan ditolak. Penyampaian keputusan (keputusan rayuan SRC Najib) esok akan diteruskan seperti yang ditetapkan,” kata Abdul Karim.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan akan membuat keputusannya pada jam 9 pagi esok, 8 Disember 2021, berhubung rayuan sabitan hukuman penjara dan denda dikenakan terhadap Najib.

BERITA BERKAIT
POPULAR