Tiada harapan KWSP one-off RM10k

March 14, 2022 · Isu semasa

Kerajaan tidak membenarkan pengeluaran i-Citra secara one-off RM10,000 daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagaimana dituntut sesetengah pihak.

Ini berdasarkan jawapan diberikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kepada soalan beberapa Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya tiga program pengeluaran caruman KWSP sebelum ini iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra adalah merupakan pengeluaran pra persaraan yang diperkenalkan sebagai langkah bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik Covid-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KWSP telah juga membuka permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada Januari lalu. Dan pemohon yang telah mengalami kejatuhan pendapatan isi rumah layak memohon.

“Kalau kita lihat hampir 700,000 permohonan baru diterima dan mereka akan dipertimbangkan berdasarkan data pendapatan terkini. Bagi mereka yang mempunyai lebih RM1 juta, mereka sebenarnya dibenarkan untuk mengeluarkan wang daripada KWSP kalau mereka perlukan.

“Sebagaimana sedia maklum tiga program yang disebut i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra merupakan pengeluaran pra persaraan yang diperkenalkan sebagai langkah sementara… saya ulangi ini langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik Covid-19 semasa PKP,” katanya.

Tengku Zafrul berkata negara-negara lain seperti seperti Australia, Cili dan Peru juga telah membenarkan akses awal kepada simpanan persaraan bagi membantu rakyat menangani Covid-19.

Namun katanya, negara-negara berkenaan tidak lagi membenarkan pengeluaran itu, malah Singapura juga sejak awal lagi tidak membenarkan sebarang pengeluaran dana persaraan atas tujuan Covid-19.

Beliau turut menjelaskan daripada ketiga-tiga pengeluaran itu telah melibatkan amaun pengeluaran bernilai RM101 bilion, dan menyebabkan simpanan persaraan ahli semakin berkurangan, walaupun terdapat juga manfaatnya.

“Kadar dividen bagi simpanan konvensional yang diumum KWSP bagi 2021 sepatutnya boleh mencecah sehingga 6.7 peratus berbanding 6.1 peratus yang diumumkan baru-baru ini.

“Ini bermakna RM5.4 bilion dari segi dividen tambahan boleh diagihkan kepada semua ahli KWSP, jika pengeluaran sebelum ini tidak dibuat.

“RM5.4 bilion dari dividen ini telah menyebabkan lebih kurang 5.3 juta ahli yang tidak pernah mengeluarkan wang simpanan mereka melalui mana-mana skim pengeluaran sebelum ini terpaksa menerima pulangan yang lebih rendah ke atas simpanan mereka. Adakah ini adil?,” katanya.

Tengku Zafrul berkata jika pengeluaran tambahan dibenarkan KWSP perlu melaksanakan pengimbangan portfolio dan impaknya mungkin lebih daripada nilai pengeluaran berjumlah lebih RM63 bilion.

“Jadi kalau kita nak sediakan nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion, KWSP perlu menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran yang tidak menentu dan juga memperhentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh jangka pendek dan sederhana.

“Langkah ini akan terus memberi impak negatif kepada pasaran saham dan juga bon tempatan. Antara kesan buruk yang saya perlu sebut di sini dan belum pernah disebut adalah berlaku kepada pasaran bon tempatan ini termasuklah kadar faedah sekuriti (MGS) kerajaan Malaysia yang telah meningkat dalam kadar purata 100 mata asas berbanding suku ketiga 2020.

“Ia juga menyebabkan kos pinjaman bagi kerajaan di masa hadapan meningkat dengan ketara serta kerugian portfolio bagi peserta-peserta pasaran. Sebagai contoh bagi keseluruhan 2021 jumlah pinjaman kasar bagi MGS ini RM83 bilion.

“Ini bermakna kerajaan menanggung tambahan bayaran faedah berjumlah RM830 juta setahun. Bayangkan nilai ini sepatutnya dapat digunakan bagi pelbagai program dan bantuan untuk rakyat.

“Jadi kenaikan lanjut kadar faedah ini juga akan menyebabkan kerugian lebih besar serta terus meningkatkan sentimen negatif aa peserta pasaran terhadap pasaran kewangan tempatan,” katanya.

Terdahulu hari ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki terus mendesak pengeluaran RM10,000 one-off KWSP itu, walaupun kerajaan telah beberapa kali menyatakan ia tidak akan dibenarkan.

Berita berkaitan
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
22 jam lalu· Isu semasa
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
22 jam lalu· Politik
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024· Isu semasa
Anwar patut jawab kejatuhan ringgit bukan orang lain, kata Ahli Parlimen
March 5, 2024· Politik
Popular
Risiko beli sekarang, bayar kemudian
August 22, 2022
Annuar yang pernah fitnah Bersatu dilantik pengerusi baharu UDA
March 23, 2023
Enggan vaksin, guru boleh ditukar jika jejas proses PdP
September 26, 2021
Rumah Terbuka bersama Sanusi cecah 50 ribu orang lebih, lapor Sinar Harian
April 28, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
22 jam lalu · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok