
Tiada ramalan cuaca buruk luar biasa hujung bulan ini, kata Jabatan Meteorologi Malaysia, hari ini (24 Oktober 2022).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) har ini (24 Oktober 2022) menafikan negara akan berdepan cuaca buruk luar biasa, hujung bulan ini, sebagaimana tular satu rakaman video di media sosial.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata sehingga kini pihaknya tidak menjangkakan negara bakal berdepan cuaca buruk luar biasa bagi tempoh seminggu ini.
“Melalui pemantauan terkini, keadaan cuaca di negara ini sedang dipengaruhi oleh penumpuan angin di Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah sehingga hujung bulan bulan berpotensi menyebabkan keadaan cuaca lembap di kebanyakan negeri.
“Sehubungan itu, MetMalaysia semalam, sudah mengeluarkan Ramalan Cuaca Signifikan.
“Bagaimanapun, pada masa sama, satu sistem tekanan rendah terbentuk di timur Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat dan barat laut menjauhi rantau negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu juga sebagai penjelasan berhubung video cuaca buruk luar biasa, yang dikatakan berlaku hujung bulan ini seperti tular di media sosial.
Muhammad Helmi berkata, kewujudan sistem tekanan rendah itu memberi sedikit kesan terhadap keadaan laut.
“Oleh itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan pada 12.30 tengah hari ini, membabitkan kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang dalam tempoh dari Khamis (27 Oktober) hingga Ahad (30 Oktober).
“Kelajuan angin antara 40 hingga 50 kilometer per jam (km/jam) dan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan ini,” katanya.
Menurutnya MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan perubahan cuaca signifikan dari semasa ke semasa.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca boleh melalui laman web MET Malaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi serta Hotline di talian 1-300-22-1638.
Katanya, sebarang penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.