
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menafikan dakwaan bekas pendahulunya sebelum ini, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Pengisian jawatan penting dalam polis tidak melibatkan campur tangan pihak luar dan ia dijalankan mengikut prosedur yang sudah digariskan, kata Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Acryl juga menyangkal dakwaan bekas KPN terdahulu, Tan Sri Abdul Hamid Bador tahun lalu sebagai tidak benar dan menegaskan tiada kartel ataupun kumpulan tertentu yang bertindak mengatur perjawatan dalam pasukan keselamatan negara itu.
“Saya secara peribadi berpandangan tiada tangan ghaib dari luar atau kartel dalam kalangan pegawai tertentu yang mengatur perjawatan pasukan untuk diisi sejak selama ini,” katanya dipetik laporan media.
Acryl terdahulu menghadiri Majlis Apresiasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama Agensi Penguatkuasaan Seliaan bersempena ulang tahun ke-11, di Putrajaya.
Pada 22 Februari lalu, Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyatakan bahawa dakwaan Abdul Hamid mengenai isu kartel itu tidak dapat ditentusahkan hasil siasatan yang dibuat.
Ia turut berdasarkan keterangan ramai saksi dan dokumen yang diperoleh oleh pihak EAIC sendiri sebelum diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali untuk rekod.
Abdul Hamid pada 18 Mac 2021, mendedahkan konon ada gerakan sekumpulan pegawai polis yang bersekongkol dengan pihak luar bagi mendominasi pasukan itu demi kepentingan mereka.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, sekiranya benar ada komplot kumpulan berkenaan dalam polis, sudah tentu situasi perjawatan pegawai di seluruh negara telah lama menjadi tidak teratur.
“Saya pun tidak nampak di mana wujud kartel itu dan dakwaan tersebut tidak sebagaimana yang digambarkan kerana memang tiada campur tangan dalam penyusunan pegawai,” jelasnya.
Beliau menambah, urusan berkenaan sejak sekian lama ada prosedur amat ketat dan juga melibatkan banyak lapisan termasuk dari polis kontinjen negeri untuk mengelak tiada penyelarasan.
Bahkan ujarnya, walaupun beliau kelazimannya dimaklumkan mengenai cadangan perubahan kedudukan pegawai tertentu, ia akhirnya akan tetap melalui Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
Kemudiaan, sekumpulan panel yang akan menapis dan meneliti lagi kesesuaian pegawai dicalonkan itu bagi kelayakan mengisi perjawatan kosong selain pertukaran jabatan dalam pasukan.