Tiada alasan tak benar pengeluaran RM10,000 KWSP: Najib, Asyraf Wajdi

Desakan supaya kerajaan gabungan pimpinan UMNO meluluskan segera pengeluaran RM10,000 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) muncul lagi, dua hari setelah Barisan Nasional (BN) menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini bersama-sama membuat desakan itu.

Walaupun telah berkali-kali kerajaan, malah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri, telah memberitahu sendiri pengeluaran itu tidak akan dibenarkan, Asyraf Wajdi, Najib, malah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terus menunjukkan sikap keras kepala mereka.

Dalam kenyataan hari ini, Najib memetik kenyataan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia yang mendesak kerajaan meluluskan pengeluaran caruman KWSP itu bagi mengelak pencarum meminjam wang daripada ah long.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sebelum ini pernah membangkitkan desakan sama di Dewan Rakyat setelah Asyraf Wajdi meminta bantuannya berhubung pengeluaran KWSP itu.

Menurutnya pengeluaran terakhir KWSP RM10,000 itu sebaiknya dibuat sebelum Ramadan ini.

Sementara itu, Asyraf dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak membenarkan pengeluaran i-Citra one-off RM10,000 itu.

“Hari ini Menteri Kewangan Tengku Zafrul akan menjawab segala perbahasan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen sepanjang membahaskan Usul Menyokong Titah YDP Agong.

“Diharapkan ada berita baik mengenai tuntutan rakyat mengenai pengeluaran kali terakhir i-Citra KWSP RM10k sebagaimana yang turut disokong dan dibahaskan oleh beberapa Ahli-Ahli Parlimen BN, PAS, PKR dan DAP.

“Tiada lagi alasan untuk Kerajaan tidak memenuhi harapan rakyat yang terdesak, tertekan dan amat susah ketika ini untuk menuntut pengeluaran wang simpanan mereka.

“Apatah lagi apabila hampir semua Ahli Parlimen yang mewakili Parti-parti Politik daripada Kerajaan mahupun Pembangkang, telah mula merubah pendirian asal dengan menyokongnya dalam perbahasan mereka,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR