
Pelaksanaan sistem pekerjaan secara fleksibel itu memudahkan pekerja untuk menjalankan kerja mereka tanpa perlu mengharungi kesesakan jalan raya serta risiko-risiko lain.-Gambar hiasan
Amalan Bekerja Dari Rumah (BDR) membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 melalui kurangnya kontak langsung antara pekerja dengan mereka yang berpotensi menjadi pembawa virus.
Keadaan ini ditambah dengan penyebaran wabak ini yang juga boleh berlaku bagi mereka yang tidak mempunyai tanda-tanda awal jangkitan.
Penjarakan sosial (social distancing) dapat dijalankan dan hal ini akan dapat memutuskan rangkaian Covid-19 dan menjadi antara langkah kawalan pandemik.
Pembukaan semula sektor perkhidmatan dan ketersediaan vaksin di negara ini bagi mengekang penularan Covid-19, menimbulkan pertanyaan adakah wajar norma baharu bekerja dari rumah ini diteruskan, walaupun pandemik Covid-19 berakhir.
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Dr Harris Shah Abd Hamid berpendapat, pendekatan BDR wajar diteruskan berikutan kesan positif yang diperolehi bukan sahaja pekerja tetapi melangkaui banyak aspek.
“BDR wajar diteruskan, namun keperluan dan pilihan pekerja perlu diberi keutamaan supaya BDR tidak dilihat sebagai satu solusi yang dipaksa.
“Terutama bagi sesetengah pekerja yang tinggi keperluan sosial, yang boleh menyebabkan mereka kehilangan saluran untuk mendapatkan kepuasan interaksi sosial apabila melakukan BDR,” ujarnya.
Pelaksanaan BDR juga jelas beliau, perlu dilaksanakan dengan melihat kepada kesepadanan pekerja dan pekerjaan, bagi memastikan petugas dapat melaksanakan pekerjaan mereka dengan lebih produktif di rumah.
Kajian yang dilakukan beberapa pihak menunjukkan, banyak kesan positif yang boleh dilihat melalui BDR terutama produktiviti dan penyampaian tugasan.
Beliau berkata, oleh itu apabila kerajaan mempertimbangkan untuk memperluaskan kemudahan bekerja dari rumah bagi sektor awam dan swasta bagi menjaga ahli keluarga yang uzur, sakit, menyokong isteri menjaga anak yang baru lahir, ini adalah langkah yang wajar dipuji.
“Ini mampu mengurangkan tekanan yang timbul daripada konflik tuntutan kerja dan tuntutan keluarga. Saya yakin ramai pemberi penjagaan kepada ahli keluarga, yang mana setiap mereka ini akan mendapat manfaat daripada pilihan untuk BDR,” jelasnya.
Pun begitu, majikan perlu memberi kepercayaan kepada pekerja untuk bekerja dari jarak jauh. Mungkin majikan rasa tidak senang duduk apabila tidak dapat melihat pekerja bekerja secara fizikal, namun pemantauan masih dapat dibuat melalui hasil kerja mereka. Tidak kiralah bekerja dari rumah atau pejabat, apa yang penting ialah produktiviti.
Dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, majikan sepatutnya melaksanakan apa sahaja yang boleh untuk membantu mengurangkan beban kewangan pekerja dengan melaksanakan BDR.
Bukan sahaja menjimatkan masa, bekerja dari rumah juga membantu pekerja menambah simpanan bulanan hasil penjimatan belanja minyak, tol dan tempat letak kenderaan. Amalan ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan jalan raya yang sekian lama menjadi masalah buat rakyat.
Selain mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, BDR juga dilihat langkah bijak membantu mengurus kewangan pekerja.