Teruskan amalan kawalan kendiri, nasihat Perdana Menteri

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang ramai untuk mendaftar temujanji vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang ramai terus mengamalkan kawalan pergerakan kendiri atau ‘self lockdown’ dan keluarga masing-masing bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Sambil mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak kepada rakyat Malaysia beragama Buddha, beliau berharap mereka dapat meraikan perayaan itu bersama ahli keluarga dalam norma baharu.

“Dalam kita berhadapan dengan situasi pandemik yang luar biasa ketika ini, sama-samalah kita amalkan ‘self lockdown’ atau kawalan pergerakan kendiri dan juga keluarga untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Elakkanlah daripada meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan penting,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan hanya ketua agama dan jawatankuasa pengurusan kuil sahaja dibenarkan untuk mengunjungi rumah ibadat.

“Sama-samalah kita patuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa pada ketika ini untuk membendung penularan Covid-19 agar wabak ini segera berakhir dan kita dapat kembali meraikan perayaan-perayaan di negara kita dengan meriah seperti dahulu,” katanya.

Negara semalam mencatatkan jangkitan paling tinggi sejak pandemik melanda Malaysia awal tahun lalu, dengan merekodkan 7,289 kes baharu Covid-19 dan 60 kematian dalam tempoh 24 jam.

POPULAR