
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada kerajaan sama ada mahu menghalalkan ketum atau ganja untuk perubatan, namun ketika ini kedua-duanya masih disenaraikan mengikut akta berkaitan racun dan dadah berbahaya.
Sehubungan itu, PDRM tetap mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati menyalahgunakan bahan terlarang itu mengikut peraturan sedia ada.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan ketum masih tersenarai di bawah Akta Racun 1952.
“Memiliki atau menggunakan memang jadi satu kesalahan. Polis akan mengambil tindakan kepada sesiapa yang didapati menyalahgunakannya. Akan tetapi sama ada ia mahu dihalalkan atau tidak, kita serah kepada kerajaan.
“Begitu juga dengan ganja yang diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Kita perlu faham kedua-dua jenis dadah ini masih lagi tersenarai di bawah undang-undang yang saya sebutkan tadi dan mengandungi bahan mengkhayalkan,” katanya dalam temu bual khas yang disiarkan Utusan hari ini.
Ayob dipetik sebagai berkata setakat ini belum ada kajian terperinci, sebaliknya ada sesetengah pihak yang mendakwa ketum mempunyai elemen perubatan.
“Sejauh mana ia telah dibuktikan? Setahu saya tiada lagi. Kalau ada yang cakap ketum boleh turunkan darah tinggi atau kencing manis, ia sekadar testimoni. Belum ada kajian. Sama juga dengan ganja,” katanya.
Selain itu, beliau berkata tidak ada satu negara pun yang sifar dadah dan usaha ke arah itu adalah mustahil.
“Sebab apa? Kerana perniagaan dadah ini memberi pulangan keuntungan yang amat tinggi. Jika syabu di Malaysia harga sekilo RM36,000. Tapi kalau dieksport ke Indonesia harganya mencecah RM100,000 dan Australia pula harga sekilo adalah RM300,000.
“Buatlah hukuman apa pun, pulangan yang dijanjikan lumayan. Yang kedua, kita perlu ingat Malaysia ini kedudukan geografinya terletak di tengah-tengah.
“Di sebelah utara, kita berhampiran dengan segitiga emas dadah. Dadah yang dibawa masuk ada untuk kegunaan dalam negara dan ada untuk dieksport ke negara lain.
“Selain itu, kita kesan ada dadah yang masuk ke negara ini dari Asia Selatan dan Asia Barat sebelum dihantar ke negara lain. Hakikatnya, lokasi Malaysia ini strategik selain kemudahan yang baik. Kita ada pelabuhan, sistem kewangan dan komunikasi yang berfungsi baik,” katanya.
Ayob juga berpendapat polis tidak perlu mewujudkan pasukan khas, seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) untuk menangani isu membabitkan dadah.
“Tidak perlu banyak sangat pasukan atau tambah unit yang sedia ada. Mengapa perlukan satu unit lain untuk jalankan tugas yang sama. Kita pun ada unit strike khas. Nanti orang keliru dan tidak tahu mana satu yang betul (unit). Jadi kita perlu mantapkan sahaja apa yang ada.
“Contohnya, peralatan baharu yang lebih canggih, jumlah anggota dan sebagainya. Sindiket-sindiket ini sudah kaji cara kita dalam sesebuah operasi. Sebab itu peralatan penting dan tidak boleh bergantung kepada tenaga manusia semata-mata. Peralatan bantu kita banyak operasi dan siasatan,” katanya.