Terpaksa guna kontena khas simpan jenazah Covid-19 di Hospital Sg Buloh

Kontena khas sebagai tambahan tempat menyimpan jenazah atau mayat mangsa Covid-19.

Kontena khas terpaksa disediakan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh sebagai tambahan tempat menyimpan jenazah atau mayat mangsa Covid-19 selepas kapasiti tempat penyimpanan sedia ada sudah hampir penuh.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi hantaran di Twitter memaklumkan enam lagi kematian dilaporkan di hospital tersebut hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, lebih 80 peratus kematian akibat jangkitan COVID-19 di negara ini adalah daripada golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi.

“Kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat. Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka,” menurut kenyataan KKM.

Sebanyak 3,780 kes Covid-19 dengan 36 kematian direkodkan hari ini manakala kes sembuh pula adalah 3,990.

Selain itu, 520 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 272 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan dan kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini berjumlah 42,135.

POPULAR