[TERKINI] Mungkin silap komunikasi pusat kawalan LRT, kata polis

216 penumpang cedera termasuk 47 yang parah selepas tren LRT berlanggar di ibu negara malam semalam, dihantar ke beberapa hospital di sekitar Lembah Klang.

Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat pelbagai kemungkinan nahas membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) RapidKL yang bertembung malam tadi menyebabkan 216 penumpang cedera, termasuk 47 daripadanya parah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komosioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010 kerana menyebabkan kecederaan ramai dan kerosakan kepentingan awam.

“Insiden ini berkemungkinan disebabkan kesilapan komunikasi di Pusat Kawalan LRT. Jadi kami akan siasat sejauh mana berlaku break down (tren yang kosong).

“Kalau kita lihat, ini merupakan satu kemalangan,” katanya malam tadi sambil menolak wujud sabotaj oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata semua penumpang berada di dalam tren yang dalam perjalanan dari Stesen KLCC ke Stesen LRT Gombak, manakala sebuah lagi dari Stesen LRT Kampung Baru ke Stesen LRT Gombak dan hanya membawa seorang pemandu.

Katanya, kedua-dua tren bergerak dengan kelajuan sekitar 40 kilometer sejam ketika bertembung.

“Tren yang membawa penumpang ke Gombak dipandu secara automatik membawa 213 penumpang, sementara tren rosak pula dari Stesen Kampung Baru ke Gombak ialah tren kosong dan hanya ada pemandu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi, 47 penumpang cedera parah manakala 166 lagi cedera ringan setelah dua tren LRT berlanggar sesama sendiri berlanggar di dalam terowong antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

POPULAR