Terkejut kes baharu Covid-19 di Perlis semalam 405 dilapor COVIDNOW

Jumlah jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam di Perlis semalam, 13 Oktober 2021 seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan menerusi laman sesawangnya COVIDNOW, mengejutkan apabila merekodkan 405 kes baharu, termasuk satu kes import.

Untuk rekod, jumlah jangkitan harian tertinggi pernah dilaporkan di seluruh Perlis adalah pada 7 Oktober lalu iaitu sebanyak 200 kes.

Pada masa sama, statistik COVIDNOW yang dikemas kini jam 6.20 pagi tadi juga menunjukkan angka meragukan bagi jumlah kes di Pulau Pinang bagi tempoh itu apabila hanya mencatat 32 kes baharu semalam.

Bagaimanapun, semakan Agenda Daily daripada laporan kes harian yang disediakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri menunjukkan perbezaan ketara jumlah kes baharu bagi kedua-dua negeri itu, berbanding dilaporkan COVIDNOW.

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dalam laporannya petang semalam merekodkan 32 kes baharu, manakala Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang pula mencatatkan jumlah kes baharu sebanyak 474 kes.

Selain itu statistik COVIDNOW menunjukkan jumlah jangkitan baharu di Pahang semalam sebanyak 474 kes, termasuk satu kes import, sementara Jabatan Kesihatan Negeri Pahang merekodkan hanya 342 kes sahaja.

Demikian juga semakan ke atas kes baharu yang dilaporkan di Perak di mana Jabatan Kesihatan Negeri merekodkan 405 jangkitan baharu, manakala COVIDNOW mencatatkan 474 kes baharu, termasuk satu kes import.

Bagaimanapun, data bagi negeri-negeri lain yang ditunjukkan COVIDNOW adalah sama dengan yang dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Jumlah keseluruhan jangkitan baharu bagi laporan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri dan COVIDNOW juga kekal pada 7,950 kes semalam.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan pecahan kes jangkitan harian mengikut negeri yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan setiap negeri pada jam 9.52 malam tadi. Baca di sini

Laman sesawang COVIDNOW diperkenalkan KKM pada 9 September lalu memperincikan semua kes berkaitan Covid-19 bagi menggantikan amalan memberi laporan secara harian. Laman itu dikemas kini menjelang tengah malam setiap hari bagi kes yang berlaku sehari sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pelaksanaan laman web baharu itu bagi membolehkan pembabitan secara menyeluruh masyarakat dengan pemahaman yang tepat mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 dalam negara.

Perbezaan laporan antara laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan – COVIDNOW – dan laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri.

Sementara itu, KKM turut melaporkan 68 lagi pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 27,593 kes kematian.

Sarawak merekodkan jumlah kematian tertinggi seramai 16 pesakit diikuti Johor (sembilan); Perak (lapan); masing-masing enam di Kelantan dan Sabah; Terengganu (empat); masing-masing tiga di Melaka, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, dan Selangor; dan masing-masing dua di Kedah dan Negeri Sembilan.

Tiada kes kematian dilaporkan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pada masa sama, KKM melaporkan kes aktif Covid-19 semalam turun sebanyak 2,950 kes menjadi 106,047 kes berbanding 108,997 yang dilaporkan pada Selasa dan 112,379 kes pada Isnin.

Daripada jumlah itu, 82,634 pesakit menjalani kuarantin di rumah; PKRC (15,228 pesakit); hospital (7,463 pesakit); dan 722 pesakit, termasuk 380 yang memerlukan alat bantuan pernafasan, dirawat di unit rawatan rapi.

Lima negeri merekodkan jumlah kes aktif tertinggi semalam dengan Sarawak merekodkan 17,749 kes, turun berbanding 19,372 kes yang dicatat pada Selasa; diikuti Selangor 15,556 kes (15,424/Selasa); Johor 12,342 kes (12,950/Selasa); Kelantan 10,563 kes (10,550/Selasa); dan Sabah 10,260 kes (10,666/Selasa).

Sementara itu sehingga jam 7.30 pagi ini KKM belum mengemas kini kemajuan program imunisasi mengikut negeri.

BERITA BERKAIT
POPULAR