Terkejut diberitahu ada arahan pinda, lupus laporan audit 1MDB, kata Madinah

Susulan pendedahan terdapat arahan untuk pinda dan melupuskan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang asal, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengakui terkejut selepas diberitahu.

Bekas Ketua Audit Negara itu berkata pendedahan tersebut diberitahu oleh Timbalan Pengarah Audit ketika itu, Datuk Nor Salwani Muhammad yang memberitahunya bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang termasuk dirinya menerima arahan sedemikian.

Arahan tersebut adalah supaya laporan audit asal dipinda, Nor Salwani pula diarahkan memusnahkannya tetapi tidak mengikut arahan yang diberikan itu.

Sebaliknya, Nor Salwani menyimpan dibawah kerusinya sebelum ia didedahkan kepada pihak penyiasat.

Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanya kepada Madinah berhubung individu yang memberi arahan kepada kedua-dua individu tersebut supaya meminda dan melupuskannya, lalu dijawab “tidak”.

“Saya tidak bertanyakan kepada Nor Salwani siapa yang memberikan arahan itu kerana pada waktu itu saya dijadual mengadakan pertemuan dengan kumpulan pegawai lain di bawah saya.

“Saya hanya tahu ia adalah salah bagi Ambrin ketika itu untuk ditekan dan membuat pindaan terhadap apa yang sudah dimuktamadkan dalam laporan ketua audit dan juga ia salah untuk mengarahkan semua laporan asal dilupuskan .

“Selepas Nor Salwani beritahu saya mengenai perkara itu, saya menyimpan laporan itu di tempat selamat dan berkunci dalam bilik saya,” katanya dipetik dalam laporan media hari ini.

Hari ini berlangsung perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB.

Dalam pernyataan saksinya sebelum ini, Madinah berkata beliau tidak memusnahkan versi asal Laporan Pengauditan 1MDB kerana ia mengandungi maklumat dan bukti yang material mengenai syarikat pelaburan strategik negara itu.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

BERITA BERKAIT
POPULAR