
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Kerajaan Malaysia buat julung kalinya berjaya menerbitkan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia Lestari (“MGII1 Lestari”) berjumlah RM4.5 bilion dalam pasaran domestik, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata permintaan yang kukuh terhadap MGII Lestari terbukti melalui lebihan langganan sebanyak 2.38 kali dengan kadar keuntungan ditetapkan pada 4.662 peratus.
“Jumlah bidaan sebanyak RM10.7 bilion adalah yang tertinggi sejak Julai 2019 untuk terbitan MGS2 /MGII jangka panjang (≥15 tahun).
“Permintaan yang tinggi mencerminkan keyakinan berterusan oleh pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan prospek pertumbuhan positif untuk 2022,” katanya.
Menurutnya terimaan terbitan MGII Lestari akan digunakan untuk membiayai atau membiayai semula perbelanjaan sosial dan hijau yang ditetapkan, seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia, sama seperti terbitan Sukuk Kelestarian USD pada 2021.
Katanya terbitan itu bukan sahaja membolehkan Malaysia memenuhi komitmen sebagai negara yang bertanggungjawab terhadap Perjanjian Paris, tetapi turut meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.
“Di samping itu, terbitan ini membuktikan usaha Kerajaan dalam mempercepatkan tindakan iklim serta peralihan ke arah negara yang makmur, inklusif dan mampan selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021 – 2025,” katanya.
Tengku Zafrul berkata MGII Lestari berjaya menarik pelbagai jenis pelabur dan telah diagihkan kepada institusi kewangan tempatan sebanyak 50.3 peratus, pelabur institusi (38.4 peratus), syarikat insurans (7.2 peratus) dan pelabur bukan pemastautin (4.1 peratus).
Katanya, terbitan MGII Lestari baharu ini dijangka dapat menarik lagi permintaan terutamanya dari pelabur yang menguruskan portfolio kelestarian.
“Sebagai terbitan MGII kelestarian domestik yang pertama, terbitan ini merupakan penanda aras baharu dan mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global seterusnya mengukuhkan kedudukan negara sebagai pasaran Sukuk terbesar di dunia,” katanya.