Terapi berkuda bina minda anak istimewa

Ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa berinteraksi dengan alam dan haiwan sememangnya cukup memberi kesan kepada perkembangan minda anak-anak kita.

Imun anak semakin kuat apabila kita mendedahkan mereka dengan persekitaran, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Menurut Presiden Kelab Ekuin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarah Hilmee, pendedahan dengan haiwan seperti kuda  membuatkan daya berfikir anak menjadi lebih baik dan positif.

“Tanpa kita ketahui, pendedahan dan mendekati haiwan seperti kuda sebenarnya amat besar manfaatnya terutama kepada anak-anak yang lambat perkembangannya juga anak-anak istimewa seperti autisme, Sindrom Down dan sebagainya. Mendekati kuda antara terapi paling dekat untuk membuatkan anak-anak autisme menjadi lebih tenang dan semakin baik perkembangannya,” katanya.

Sarah berkata demikian pada majlis Mesra Santai  Bersama Si Kuda anjuran bersama Kelab Ekuin UKM, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UKM), SSC Resources, Sekolah Antarabangsa Spectrum Putrajaya dan Akuda Kids baru-baru ini.

Tambah Sarah, berbanding haiwan lain, kuda menjadi satu terapi yang begitu dekat dengan kanak-kanak. Malah terapi melalui kuda ini juga membuatkan anak-anak istimewa mampu berdikari dari segi kemahiran hidup seharian dengan cara yang sangat menyeronokkan.

“Kaedah yang menyeronokkan seperti bermain kuda lebih memberangsangkan dan mempercepatkan perkembangan mereka yang selalunya lebih mencabar berbanding kanak-kanak lain.

Kaedah ini memberi galakan secara tidak langsung apabila berinteraksi dan menunggang kuda. Ia juga menggunakan kaedah hippoterapi yang boleh membantu fokus, tumbesaran dan perkembangan emosi kanak-kanak,” ujarnya.

Jelasnya, hippoterapi ini bukan pengganti terapi konvensional tetapi ia sebagai pelengkap untuk rawatan kanak-kanak istimewa kerana ia mempercepatkan rawatan dan perkembangan neurologi golongan ini.

“Kanak-kanak istimewa seperti autisme mempunyai cabaran untuk memproses input deria. Aktiviti mudah seperti makan, bercakap dan menyentuh adalah sangat mencabar. Melalui terapi hippoterapi, kanak-kanak ini diajar untuk re-teach bagaimana otak menerima dan memproses input.

“Pada masa yang sama seperti dalam pembelajaran matematik atau mengait, aktiviti repitasi akan membantu untuk proses re-teach ini. Melalui haiwan berkuda, kanak-kanak dapat memberi tumpuan lebih lama kerana mereka dapat berinteraksi dengan kuda secara dekat. Secara tidak langsung, objektif repitasi dipenuhi kerana kanak-kanak berada dalam fokus lebih lama. Inilah sebabnya mengapa hippoterapi telah terbukti menghasilkan keputusan yang lebih cepat dalam masa yang lebih singkat,” ujarnya.

Menceritakan peranan Kelab Ekuin UKM, Sarah berkata, peranan mereka ialah menyediakan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UKM sendiri membantu Akuda Kids semasa sesi terapi bersama anak-anak autisme.

POPULAR