Tengku Zafrul turun padang dalam misi bantuan banjir di Shah Alam

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turun padang bersama-sama pasukan sukarelawan bagi menghulur bantuan kepada mangsa yang terjejas dalam bencana banjir besar yang melanda Selangor semalam.

Menteri Kewangan meninjau dan turut terlibat dalam misi menyelamat bersama-sama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang bertungkus-lumus membawa mangsa banjir keluar dari kediaman mereka yang terjejas untuk dibawa ke pusat penempatan sementara.

Selain itu, misi bantuan juga membawa barang-barang keperluan untuk dihulurkan kepada mangsa banjir yang terjejas selepas banjir besar melanda merosakkan banyak harta benda.

Dalam misi tersebut, Tengku Zafrul dibawa ke lokasi yang terjejas teruk akibat banjir di sekitar Kampung Kebun dan Sri Muda.

Tengku Zafrul singgah di Kuarters Balai Polis Si Muda bagi memberi bantuan makanan dan melawat pusat penempatan sementara di SK Jalan Kebun yang dijadikan tempat mangsa banjir dikumpulkan sehingga keadaan banjir reda semula.

Dalam misi bantuannya, Tengku Zafrul meninjau keperluan tambahan yang perlu disediakan kepada mangsa banjir dan penambahbaikkan yang perlu disediakan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai yang ditempatkan di pusat itu.

“InsyaAllah, lebih bantuan akan dihulurkan secepat mungkin,” kata Tengku Zafrul dalam akaun Instagramnya.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumka kerajaan menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta sebagai usaha menangani impak banjir dan pengaktifan rangkaian bencana Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan (MOF) akan menyegerakan penyaluran RM50 juta kepada NADMA dan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) untuk memastikan kelangsungan bantuan kepada isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.

Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kadar Bantuan Wang Ihsan kepada RM1,000 daripada RM500 bagi setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir disebabkan Monsun Timur Laut atau terkesan daripada apa-apa bencana lain yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

BERITA BERKAIT
POPULAR