Tekanan, kesihatan mental Covid-19 tiada kesudahan?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial turut memaklumkan menerima sebanyak 122,328 panggilan sejak 1 Januari hingga 18 Jun 2021, membabitkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, masalah rumah tangga dan tekanan ketika bekerja dari rumah.

Ini menunjukkan tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara ini perlu diberi perhatian serius akibat tekanan pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada di dalam keadaan stres yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.

Kini Malaysia digemparkan lagi dengan peningkatan kes varian baharu Covid-19 membabitkan gelombang Omicron yang sudah bermula di Malaysia.

Adakah rakyat bakal berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat sekali lagi? Maka bermulalah episod stres, tekanan dan kemurungan kerana masing-masing baru bernafas memulakan langkah memperbaiki ekonomi keluarga.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah,  Dr Noor Afzaliza Nazira Ibrahim, kecerdasan emosi mempengaruhi cara seseorang membuat keputusan dan pilihan dalam hidup, menyelesaikan masalah serta berkomunikasi dengan orang lain.

“Apabila seseorang mempunyai tahap kecerdasan emosi memuaskan, tekanan hidup seharian yang dilalui dapat ditangani dengan baik dan memikirkannya secara rasional, tenang serta tidak membahayakan diri.

“Sebagai contoh, sesuatu masalah dan kesilapan yang kita lakukan dalam sesuatu pekerjaan boleh ditangani dengan baik melalui cara berfikir positif.

“Individu akan mencari jalan bagaimana memperbaiki kesilapan mereka. Kesannya, seseorang menjadi lebih tenang dan berkeyakinan tinggi,” katanya.

Tambah beliau, aspek kecerdasan emosi sering diabaikan dan dipandang remeh masyarakat kerana ia biasanya tidak terzahir secara fizikal. Namun, apabila masalah ini berlaku terus-menerus dalam tempoh masa lama, ia memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental.

Justeru, amat penting untuk masyarakat sedar dan peka dengan isu emosi supaya ia tidak menjadi barah yang boleh memburukkan lagi keadaan, susulan kemunculan varian baharu yang kini melanda negara kita.

Bukan itu sahaja, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyeru semua rakyat untuk terus mengamalkan penjarakan fizikal dan tetap memakai pelitup muka serta mengelak kawasan tumpuan ramai, perhimpunan besar-besaran atau mempunyai kontak rapat dengan individu berisiko bagi mengelak penyebaran virus Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR