Tekanan ekonomi akibat Covid-19 beri kesan kepada rumah tangga

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Penularan Covid-19 memberi impak besar terhadap ekonomi dan tidak dinafikan ramai yang terjejas punca pendapatan yang akhirnya memberikan kesan kepada kehidupan rumah tangga, kata Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tahun ini sahaja sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dan berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga, sebanyak 5,260 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.

“Mungkin ada ramai yang terjejas pendapatan atau hilang kerja. Apabila mereka tinggal di rumah, bila nak keluar ada had pergerakan dan sebagainya, maka banyak antara mereka luahkan tekanan perasaan (keganasan) itu kepada keluarga,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu, Rina menghadiri majlis pelancaran Masjid Sebagai Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Rina berkata statistik itu ternyata menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak, dengan itu pihaknya antara lain bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi menjadikan masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga.

Dalam tempoh sama juga, statistik Talian Kasih kementerian itu menerima sebanyak 2,540 panggilan berkaitan kes keganasan rumah tangga.

Beliau berkata dua masjid dipillih sebagai perintis program iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail di sini dengan golongan wanita tanpa mengira bangsa dan agama yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatkan perlindungan di masjid berkenaan.

Masjid itu menyediakan kemudahan bilik asrama sedia ada di masjid, keperluan asas diri serta makan minum sepanjang keberadaan mereka di situ.

“Dalam menyantuni mangsa keganasan rumah tangga di pusat transit ini kelak, setiap mangsa akan dibekalkan dengan kit persalinan mengandungi baju dan seluar, selimut, tuala mandi, peralatan mandi dan keperluan asas wanita,” katanya.

Rina berkata seramai 19 pegawai JAWI juga telah menjalani sesi latihan Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA), iaitu satu modul latihan dibangunkan Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia sebagai rujukan oleh pegawai JAWI yang dilantik bertugas di pusat transit itu nanti.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata projek berkenaan adalah antara inisiatif di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 melalui teras Sosial, Komuniti dan Alam Sekitar dengan penjenamaan Masjid Prihatin.

Beliau berkata ia bertujuan menyerlahkan lagi fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada segenap lapisan masyarakat meliputi keperluan psikososial dan spritual.

Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail pula berkata 12 masjid telah dipilih menjadi pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan mereka yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi dan kaunseling, antaranya Masjid Al Imam Al Ghazali, Bandar Manjalara Kepong dan Masjid Al Qurtubi, Sri Segambut.

POPULAR