
Seorang ibu merakamkan gambar anaknya yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi program PICKids. - Gambar KKM
Tarikh akhir bagi pemberian dos pertama vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), yang dijadualkan tamat 15 Mei, telah dilanjutkan sehingga 31 Mei.
Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Pasukan Petugas Imunisasi Kanak-kanak Covid-19 (CITF-C) pada 10 Mei, mengambil kira cuti Hari Raya dan Hari Pekerja serta penutupan pusat-pusat vaksinasi.
Pickids bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jangkitan teruk Covid-19 dan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekali gus mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.
“Seperti yang telah diumumkan dalam kenyataan media pada 13 April 2022, tarikh akhir pemberian dos pertama PICKids telah ditetapkan pada 15 Mei 2022 (Ahad) di mana selepas tarikh ini, PICKids tidak lagi menawarkan vaksinasi.
“Mengambil kira sambutan Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Mesyuarat CITF-C pada 10 Mei 2022 telah memutuskan untuk melanjutkan tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama Covid-19 bagi kanak-kanak ke 31 Mei 2022.
“Keputusan ini dibuat untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang masih ingin mendapatkan vaksin Covid-19 untuk anak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, keputusan menetapkan tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera iaitu pada 8 Mei 2022, dikekalkan dan tempahan janji temu tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut.
Justeru:
- Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei 2022, boleh meneruskan janji temu yang dipilih;
- Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei 2022, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik;
- Ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei 2022, pautan tempahan janji temu dalam aplikasi MySejahtera tidak akan diberikan; dan
- Bagaimanapun Ibu bapa dalam kategori (b) dan (c) masih boleh membawa anak untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 secara walkin di Klinik Kesihatan KKM sehingga 31 Mei 2022.
Pemberian vaksin di Klinik Kesihatan KKM adalah bergantung kepada bekalan vaksin yang tersedia dan secara siapa dahulu. Sekiranya bekalan vaksin pada hari tersebut telah habis, ibu bapa perlu datang semula pada hari berikutnya, katanya.
Dr Noor Azmi berkata selepas 31 Mei 2022, kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin Covid-19 secara percuma di bawah PICKids. Mereka perlu mendapatkan vaksin yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta.
Menurutnya pengecualian diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei 2022 kerana mereka dijangkiti Covid-19.
“Mengambil kira komplikasi MIS-C yang mungkin berlaku, ibu bapa disarankan membawa anak mendapatkan vaksinasi secara walk-in ke Klinik Kesihatan dalam tempoh enam (6) minggu selepas sembuh dari jangkitan, ataupun selewat-lewatnya pada 30 Ogos 2022,” katanya.
Untuk makluman ibu bapa juga:
- Pemakluman ini tidak terpakai bagi kanak-kanak yang baru mencapai usia 5 tahun pada atau selepas 31 Mei 2022;
- Ibu bapa kepada kanak-kanak dalam kategori ini boleh membuat pendaftaran dan tempahan janji temu vaksin Covid-19 dos pertama melalui aplikasi MySejahtera sehingga 15 Januari 2023 untuk menerima vaksinasi Covid-19 di bawah program PICKids; dan
- Tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama di bawah program PICKids bagi kategori ini adalah pada 31 Januari 2023.