Tarif baharu elektrik 2022-2024 diumum dalam masa terdekat

Kerajaan akan mengumum tarif baharu elektrik bagi tempoh 2022 hingga 2024 dalam masa terdekat, namun memberi jaminan ianya tidak akan membebankan rakyat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata tarif baharu itu juga akan memberi manfaat, khususnya kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara.

“Keadaan negara sekarang yang baru pulih daripada pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi berikutan wabak itu telah menjadi pertimbangan kepada kerajaan dalam menentukan kadar tarif elektrik baharu.

“Kerajaan telah mengkaji (perkara ini) dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. Namun saya menjamin ia (tarif elektrik) tidak akan membebankan rakyat khususnya pemilik akaun domestik iaitu akaun rumah,” katanya sambil menambah tarif baharu turut melibatkan akaun industri dan komersial.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu, hari ini, lapor Bernama

Terdahulu beliau turut menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang diwakili oleh Bendahari KEMUDI, Nor Fazlina Abdul Rahim.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata lebih 40,000 Ketua Isi Rumah (KIR) akan memanfaatkan rebat 100 peratus secara sekali beri (one-off) bagi bil elektrik Disember.

“Inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini dilihat dapat meringankan beban mangsa banjir yang terkesan dalam musibah itu sejak 18 Disember lalu,” katanya.

Menurutnya kerajaan kini dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan peralatan elektrik yang bertaraf empat atau lima bintang untuk menjimatkan tenaga elektrik.

Beliau berkata pengguna harus bijak memilih peralatan elektrik yang cekap tenaga yang mempunyai label empat atau lima bintang yang diberikan penarafan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Walaupun harga agak mahal sedikit, tetapi kerajaan kita menggalakkan penggunaan peralatan elektrik kategori ini (empat dan lima bintang) dengan memberikan rebat bernilai RM200 bagi setiap isi rumah.

“Setakat ini lebih 1,100 pekedai dan peruncit yang telah disenaraikan bagi menebus rebat ini termasuk barang elektrik yang tersenarai yang boleh dilawati menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) Malaysia,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR