‘Tangguh RUU Anti Lompat Parti, MoU dengan pembangkang campak ke laut’

Jika pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti ditangguhkan lagi, tidak bermakna lagi sudah perjanjian memorandum persefahaman (MoU) yang dimerterai sebelum ini antara pembangkang dan kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia bermakna kedua-dua belah pihak nampaknya sudah tidak ada kesepakatan dan tidak sehaluan, ia secara tidak langsung menunjukkan MoU yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah tidak relevan lagi.

“Apa guna MoU jika tidak sepakat untuk perkara sepenting Anti Lompat Parti? Ke laut lah MoU itu,” katanya dipetik dalam ciapan di Twitter.

Dalam pada itu, Ahmad berkata UMNO sudah membuat pendirian menyokong usul tersebut sebelum ini yang diputuskan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2021.

“Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 sebut kami sokong. Bukankah pindaan Perlembagaan lagi kuat dibanding hanya akta?” soalnya lagi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan penangguhan pembentangan RUU Anti Lompat Parti buat kali kedua.

Katanya, Kabinet bukan sahaja tidak mendapat kata sepakat, malah, tidak bersetuju dengan pembentangan RUU tersebut.

Untuk rekod pembentangan usul RUU tersebut sepatutnya berlangsung pada sidang khas 11 April ini selepas gagal dibawa semasa sesi Dewan Rakyat lalu.

Jika penangguhan ini sekali lagi berlaku, ia bermakna sudah dua kali RUU Anti Lompat Parti gagal dibawa untuk dibentangkan dalam dewan.

BERITA BERKAIT
POPULAR