Tangguh pemilihan UMNO: SPRM terima aduan terhadap pegawai ROS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan menerima aduan berhubung tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ‘menarik balik’ keputusannya membatalkan keputusannya sebelum ini yang menegaskan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti itu adalah tidak sah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan kepada BHOnline agensi itu menerima aduan terhadap seorang pegawai kanan ROS kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

Laman sesawang itu memetik sumber memberitahu pegawai kanan terbabit didakwa menggunakan kuasanya mengubah keputusan yang dibuat pada 6 Ogos lalu yang menyatakan penangguhan pemilihan parti UMNO sebagai tidak sah kepada sah.

Pegawai kanan terbabit didakwa meluluskan penangguhan pemilihan Agung UMNO sehingga Disember 2022 bagi tempoh 18 bulan menerusi sepucuk surat bertarikh 30 Ogos lalu.

Laporan yang memetik sumber itu turut menyatakan aduan berkenaan diterima daripada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh ROS.

“Mereka mengesyaki berlakunya perbuatan salah guna kuasa dan rasuah untuk mempengaruhi perubahan keputusan ini oleh segelintir ahli politik yang cenderung kepada pemimpin tertentu,” kata sumber itu sebelum Azam mengesahkannya tetapi enggan mengulas lanjut.

Pada 6 Ogos lalu Bernama melaporkan ROS berkata tindakan UMNO menangguhkan pemilihan parti itu tidak sah.

Ketua Pengarah ROS Jasri Kasim berkata keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak sah kerana penggal pemegang jawatan MT tamat sebelum keputusan itu dibuat.

Ini kerana keputusan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan adalah berdasarkan minit Mesyuarat MT Umno pada 7 Julai lepas, sedangkan tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam satu kenyataan pada Isnin lalu, memaklumkan ROS membatalkan keputusannya sebelum ini yang menegaskan keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu adalah tidak sah.

Beliau mengesahkan ada menerima surat daripada ROS memaklumkan keputusan itu kepadanya pada hari sama.

Katanya, berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang beliau dan peguam UMNO berikan pada 9, 11 dan 18 Ogos lalu serta beberapa keterangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 24 Ogos, didapati keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.

Oleh itu, beliau berkata, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember ini.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.

Terdahulu, pada 6 Ogos lalu ROS menetapkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR