Tangani kemurungan kanak-kanak semasa PKP

Bantu anak menyusun norma baharu bagi mengelakkan mereka terlalu berfikir ‘terperap’ dalam rumah. -Gambar hiasan

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019, mendapati hampir setengah juta kanak-kanak dikesan berdepan dengan masalah mental.

Apabila pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020, fenomena ini dijangka memburukkan lagi keadaan dengan bertambahnya maklum balas negatif terhadap gangguan mental kanak-kanak seperti stres tidak dapat bebas bermain dengan tekanan akibat pembelajaran dalam talian.

Pakar motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, pandemik Covid-19 turut mengubah corak kehidupan masyarakat tidak terkecuali kanak-kanak kerana mereka yang hidup riang kini terpaksa berkurung dalam rumah.

“Kana-kanak terpaksa mengubah gaya kehidupan yang dulunya bebas ke sana ke mari bermain bersama rakan sebaya kepada kurangnya pergerakan dan terkurung dalam rumah.

“Pandemik ini menyaksikan ramai terkesan dengan perubahan itu dan terpaksa melalui kesukaran dalam proses penyesuaian. Maklum balas menunjukkan ramai kanak-kanak terkesan secara mental dan emosi apabila rutin harian mereka terganggu,” katanya.

Tanda kemurungan kanak-kanak yang berbeza daripada orang dewasa turut menyebabkan ibu bapa dan doktor kadangkala gagal atau terlepas pandang mengenai ciri-ciri kemurungan dihadapi.

Perubahan tingkah laku, kerap mengadu sakit, mudah kecewa, tidak boleh bertolak ansur, kerap bergaduh, kurang selera makan, mudah takut dan panik hanyalah antara sebahagian perkara yang perlu diperhatikan.

Mengulas tentang faktor PKP menjadi punca utama tekanan, Hushim menjelaskan, apabila individu terkurung dalam satu tempat yang sama untuk satu tempoh yang panjang, emosi negatif akan muncul sebagai tindak balas psikologi terhadap situasi itu.

“Kanak-kanak berisiko memberi reaksi negatif dari sudut emosi dan tingkah laku mereka sekiranya tidak ditangani dengan baik.

“Perkembangan interpersonal (sosial) ini banyak diperoleh apabila mereka hadir ke sekolah dan menghabiskan masa lapang bersama rakan-rakan.

“Apabila mereka tidak lagi bebas seperti keadaan sebelumnya, hal itu pasti memberi tekanan dan boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka.

“Perubahan emosi dan tingkah laku kanak-kanak boleh berlaku dalam pelbagai bentuk akibat keadaan mereka yang tidak lagi dibenarkan bebas,” jelasnya.

Hushim berkata, pada peringkat awal PKP iaitu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan, ramai ibu bapa dan anak mula menyesuaikan diri dan membuat pelbagai perubahan rutin harian.

“Pun begitu, semakin lama didapati ramai kanak-kanak menunjukkan tanda penolakan dan tidak lagi berminat dengan gerak kerja dalam talian.

“Ini secara langsung boleh mempengaruhi motivasi dan kemahiran belajar,” katanya mengenai pemerhatiannya terhadap kaedah pendidikan baharu itu.

Tegas beliau, jika perkara itu berlanjutan, dikhuatiri hasil pembelajaran tidak dapat dicapai sepenuhnya.

“Saya melihat kegusaran ibu bapa dan guru terhadap isu ini adalah berasas. Maka, tindakan segera perlu dibuat bagi memastikan sistem sokongan pembelajaran secara dalam talian diperkemaskan dan dipertingkatkan,” katanya.

Ujar Hushim, salah satu kesan besar pembelajaran dalam talian terhadap perkembangan kanak-kanak ialah mereka terdedah dengan internet melebihi lima jam sehari.

“Sebanyak 85 peratus kanak-kanak menghabiskan masa depan telefon pintar atas alasan PdPR. Banyak kes gajet digunakan untuk melayari YouTube dan laman hiburan.

“Lebih menakutkan, ada kanak-kanak yang menonton cara bunuh diri dan sebagainya. Mungkin mereka ingin mencuba tanpa memikirkan kesan negatif tindakan tersebut,” jelasnya.

Ibu bapa perlu segera merujuk anak mereka di mana-mana hospital berhampiran sekiranya mendapati anak mereka memerlukan rawatan terperinci daripada segi psikologi.

“Bantu anak menyusun norma baharu bagi mengelakkan mereka terlalu berfikir ‘terperap’ dalam rumah. Bina aktiviti seimbang sebagai perkembangan psikologi mereka.

“Beri kanak-kanak sokongan emosi supaya mereka rasa dihargai. Hubungan dan komunikasi yang baik antara kanak-kanak dan keluarga menjadi antara faktor pelindung utama kepada daya tahan dalam diri kanak-kanak,” jelasnya.

Lebih mustahak katanya, bantu anak mengatasi tekanan dan kenal pasti punca tekanan itu. Ia boleh diperolehi menerusi komunikasi terbuka bertujuan menggalakkan si kecil meluahkan emosi dan tekanan dihadapi.

 

POPULAR