
Antara mangsa yang diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, manakala gambar satu lagi adalah dua mangsa awal yang ditemukan maut. - Gambar JBPM
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan 92 mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, dekat Kuala Kubu Bharu, telah ditemukan.
NADMA dalam satu kenyataan yang memetik sumber Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hulu Selangor memaklumkan sehingga jam 9.15 pagi ini (16 Disember 2022) seramai 53 mangsa ditemukan selamat; tujuh cedera dan lapan disahkan meninggal dunia.
“Pagi ini satu kejadian tanah runtuh telah dilaporkan di Fathers Organic FARM, Batang Kali, Kuala Selangor. Kejadian tanah runtuh tersebut berlaku setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan satu ekar.
“Pelbagai Agensi telah berada dilokasi termasuk bantuan dari Bomba, PDRM, PASPA IPPA, PDPA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan PDPA Gombak.
“Setakat jam 9.15 pagi, seramai 92 orang mangsa telah ditemui. Hasil siasatan mendapati 53 mangsa yang ditemui selamat, 7 mangsa cedera dan 8 mangsa disahkan meninggal dunia,” kata NADMA.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.24 pagi tadi yang memaklumkan berlaku kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm.
“Pasukan Bomba daripada BBP Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang dan BBP Genting Highlands mula tiba di lokasi pada jam 3.04 pagi.
“Dilaporkan, kejadian tersebut telah berlaku di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.
Sehingga kini operasi operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.