Tanah mendap: Jalan Kinabalu dari Cheras ditutup

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menutup Jalan Kinabalu dari arah Cheras di belakang Rumah Persekutuan berikutan kejadian tanah mendap sehingga mengakibatkan jalan berlubang.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata jalan berkenaan ditutup pada jam 10.30 pagi tadi kepada semua kenderaan.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka akan mengambil masa dua atau tiga hari.

“Pihak polis ingin menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan laluan tersebut dan mematuhi papan tanda arahan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis dalam pada itu menyediakan laluan alternatif antaranya kenderaan dari arah Selayang yang hendak ke Cheras dan selatan dilencongkan ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan ke selatan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata bagi kenderaan dari arah Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin dilencongkan terus ke Jalan Raja untuk ke pusat bandar atau ke arah utara semula.

Sementara itu, kenderaan dari arah Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato’ Onn dilencongkan ke Jalan Kuching, manakala kenderaan dari Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn di halakan terus ke Jalan Parlimen.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau talian penting JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR