Tambakan laut, tiada jaminan PH sama ada akan sambung atau hentikan: Adly

Sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tiada jaminan diberikan untuk menyambung atau menghentikan sebarang projek tambakan laut di negeri tersebut.

Calon Ketua Menteri PH, Adly Zahari tidak memberikan sebarang komitmen dan pendirian yang tegas berhubung isu tambakan laut di Melaka, bagaimanapun berkata mereka menimbang untuk memberi perhatian khusus agar pembangunannya dilaksanakan dengan lestari dan berhemah.

Jelas Adlu lagi, ia termasuk mempertimbangkan semula projek reklamasi tanah dan tambakan laut di negeri itu dengan teliti, bagi memastikan pelaksanaannya sesuai dengan keperluan pembangunan semasa, selaras dengan manifesto Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan.

“Sebagai contoh seperti pelaksanaan Projek Pembangunan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) yang merangkumi pembangunan sehingga di selatan Melaka, kerana kita melihat ia tidak wajar disebabkan ia merupakan kawasan aktiviti perikanan dan penternakan yang penting untuk sumber makanan rakyat di negeri ini.

“Ketika PH mentadbir negeri ini selama 22 bulan, kita telah menghentikan apa sahaja mengenai projek tambakan laut di negeri ini, dan tambakan laut ini harus dijalankan dengan teratur mengikut perancangan bagi mengelakkan berlakunya susut nilai serta lebihan terhadap tanah tebus guna,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu, Adly mengadakan sidang media di Graha Amanah Bukit Katil, Melaka.

Mengulas lanjut Adli yang juga bekas ketua menteri Melaka itu berkata menerusi pelan itu juga, PH memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan aspek kesejahteraan rakyat, pemerkasaan ekonomi dan pelaksanaan reformasi pentadbiran di negeri itu, termasuk menangani masalah banjir.

“Kami komited untuk mengatasi masalah ini dan berikrar untuk meyelesaikannya dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan memastikan semua sumber digembleng sewajarnya dalam masa yang dijanjikan, ini termasuk mewujudkan kawasan tanah lembap dan menyelenggara serta membina kolam tangkungan bagi membolehkan penyaluran air yang sempurna.

“Itu antara aspek-aspek yang kita ketengahkan hari ini dan saya pikir Melaka harus memacu ke hadapan dengan merancang masa depan kita, untuk memberi kesejahteraan dan kestabilan kepada negeri dan negara kita,” katanya.

Pada 10 Nov lepas PH membentangkan manisfeso PRN Melaka yang mengandungi tiga teras utama iaitu Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil, dengan enam strategi dan 32 inisiatif sebagai pelan bertindak pentadbiran negeri Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri UMNO, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

BERITA BERKAIT
POPULAR