Taman Sri Pulai Perdana tak kena PKPD

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Daerah Johor Bahru melaksanakan tindakan kawalan dalaman di rumah dan fasiliti berkaitan di Taman Sri Pulai Perdana, bermula hari ini susulan 47 kes positif melibatkan Kluster Pulai Perdana Tiga.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJohor) menafikan mesej tular yang mengatakan taman berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) secara pentadbiran.

Pengarah JKNJohor Datuk Dr Aman Rabu berkata, susulan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan siasatan dijalankan mendapati rumah terbabit berselerak di sekitar taman perumahan berkenaan.

“Dengan itu, tindakan kawalan dalaman pada rumah-rumah dan fasiliti berkaitan telah dilaksanakan bermula 10 Januari.

“Semua kes positif telah diisolasi dan kontak rapat kes yang dikenal pasti menjalani pengasingan di rumah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya fasiliti umum yang berpotensi untuk menjadi tempat penyebaran seperti masjid dan sekolah di dalam kawasan itu juga telah dikenal pasti dan ditutup buat sementara waktu bagi tujuan siasatan dan pengesanan kes secara berterusan.

“JKNJohor menafikan mesej yang sedang tular berkaitan pewartaan seluruh kawasan Taman Sri Pulai Perdana sebagai kawasan PKPD pentadbiran.

“Tindakan kawalan dalaman telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Daerah Johor Bahru skoran daripada pelaporan 47 kes positif melibatkan Kluster Pulai Perdana Tiga pada 10 Januari 2021,” katanya.

Sehubungan itu, menasihatkan agar masyarakat mendapatkan maklumat sahih dari sumber yang rasmi sahaja, selain tidak menularkan sebarang berita tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, tular mesej mengenai PKPD secara pentadbiran dilaksanakan di taman perumahan itu dengan pihak sekolah diminta memaklumkan kepada murid di sekitar kawasan perumahan berkenaan untuk tidak hadir ke sekolah.

BERITA BERKAIT
POPULAR