Takut kalah PRN dan marah hadiah RM100j Najib, PH ugut kaji semula MOU

Bimbang kalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kepada Barisan Nasional (BN) dan marah berhubung isu hadiah RM100 juta kepada Datuk Seri Najib Razak, blok pembangkang kini menggugut untuk mengkaji semula Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimerterai sebelum ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan permohonan sebidang tanah dan seunit rumah kepada Najib yang bernilai RM100 juta.

“Keputusan yang amat mengejutkan ini memaksa kami untuk mengkaji semula segala bentuk persefahaman yang wujud sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad membidas keputusan kerajaan untuk menghadiahkan RM100 juta kepada Najib.

Dr Mahathir mempertikaikan bagaimana Najib yang sudah dijatuhkan hukuman atas jenayah dilakukannya bersabit pertuduhan di mahkamah dan juga berstatus banduan diberikan hadiah sebegitu besar daripada kerajaan Ismail Sabri.

“Tetapi sekarang ini saya dapati bahawa ada satu item yang tak disebut dalam bajet tetapi ini sudah timbul di khalayak ramai.

“Bajet ini berkenaan dengan hadiah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dia akan dihadiah dengan wang dengan hartanah dan rumah bernilai RM100 juta kerana jasanya kepada negara… Ini tak disebut kerana kita nak tahulah apa dia jasa dia,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Najib memohon “keistimewaan” daripada kerajaan dalam bentuk sebuah rumah kediaman dengan keluasan 2.8 ekar bernilai RM100 juta yang terletak di kejiranan paling eksklusif Kuala Lumpur.

Permohonan tersebut menurut portal MalaysiaNow sudah menerima kelulusan daripada kerajaan namun dibantah menteri dan pegawai kanan.

Difahamkan Najib membuat permohonan tersebut setahun selepas digulingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 dan sekali lagi tahun lalu, beberapa bulan sebelum beliau disabitkan bersalah bagi kes rasuah melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International yang berkait 1MDB.

BERITA BERKAIT
POPULAR