Takkan Menteri Kewangan nak lapor kepada Najib pula yang disabit hukuman

Datuk Seri Najib Razak mempertikai langkah Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi laporan berhubung pemulihan negara kepada Majis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri (PM) tersebut yang sudah disabitkan hukuman berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi dan Rayuan tidak berpuas hati dengan tindakan Tengku Zafrul membentangkan laporan kepada MPN.

“Kenapa pula Menteri Kewangan PM9 mahu ikut arahan PM8 untuk diberi laporan Kementerian Kewangan bagi dia ‘bocorkan’?” soal Najib yang mengulas komen Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, yang juga pengikut setianya berhubung perkara itu.

Pembantu Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang juga mantan Ketua Setiausaha Sulit PM kelapan menjelaskan berhubung kedudukan Pengerusi MPN yang mempunyai tanggungjawab dan peranannya dalam memastikan rancangan pemulihan negara berjalan dengan lancar selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Bertaraf Menteri dan Menteri Kewangan adalah Menteri Penyelaras MPN. Selain melapor kepada PM, Menteri Kewangan juga bertanggungjawab melapor secara terus kepada Pengerusi MPN.

“Jadi tidak salah Pengerusi MPN minta laporan daripada Menteri Kewangan dan tidak salah Menteri Kewangan beri laporan kepada Pengerusi MPN. Malah, wajib Menteri Kewangan beri laporan bila diminta. Tak boleh bantah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Marzuki juga berkata Muhyiddin mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mengumumkan apa jua laporan berhubung perbincangan dalam mana-mana mesyuarat MPN.

“Sebagai Pengerusi MPN Bertaraf Menteri, Tan Sri Muhyiddin juga boleh mengumumkan kepada rakyat apa jua laporan yang dikemukakan oleh mana-mana Menteri atau kementerian, atau apa-apa butir perbincangan dalam mana-mana mesyuarat MPN.

“Bila diumum, ia tidak lagi menjadi rahsia,” katanya lagi.

Selain itu, Marzuki menegaskan rakyat perlu mengetahui berhubung kedudukan fiskal negara dan tidak sewajarnya laporan polis dibuat berhubung isu pendedahan yang dibuat oleh Muhyiddin hasil daripada pembentangan dalam mesyuarat MPN.

“Kedudukan fiskal negara adalah antara perkara yang dibincangkan di peringkat MPN. Ia sebahagian penting daripada aspek pemulihan negara yang mesti diberikan perhatian oleh kerajaan dan mesti diketahui oleh rakyat.

“Jadi apa sebab nak buat laporan polis?” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan sudah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Najib bersalah atas tuduhan rasuah melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib juga sedang berdepan puluhan pertuduhan jenayah dan rasuah di mahkamah ketika ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR