
Pemakaian pelitup muka tak lagi diwajibkan di tempat awam.
Kebebasan diberikan kepada orang ramai untuk memilih sama ada memakai pelitup muka atau tidak dalam premis, menurut prosedur operasi standard (SOP) baharu Kementerian Kesihatan (KKM) yang diumumkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini.
Pemakaian pelitup muka kini tidak lagi diwajibkan pemakaiannya di premis awam, bagaimanapun Khairy meminta orang ramai untuk memikul tanggungjawab dalam melindungi ia daripada menular walaupun kelonggaran tersebut diberikan.
“Dengan kelonggaran ini juga, orang ramai perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Jelasnya lagi, bagi individu yang positif Covid-19 mereka masih diwajibkan untuk memakai pelitup muka, selain kekal diwajibkan bagi individu yang menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di hospital serta di tempat yang sesak.
“Pemakaian pelitup muka juga diwajibkan ketika berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya,” katanya lagi.
Beliau berkata, keperluan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu tidak diwajibkan.
“Dengan kelonggaran ini juga, orang ramai perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti.
“KKM percaya orang ramai masih akan terus mengamalkan kawalan kendiri yang terbaik, termasuk memastikan kebersihan diri, bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit berjangkit termasuk Covid-19 seperti yang diamalkan pada masa ini,” katanya.
Pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula 1 Ogos 2020 susulan penularan pandemik Covid-19 ketika negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah, menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mana-mana individu yang melanggar kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Bagaimanapun, mulai 1 Mei lalu, KKM mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka apabila ia tidak lagi diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka, namun pelitup muka masih wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.
Penguatkuasaan pemakaian pelitup muka adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta 342.
Dalam pada itu, ditanya mengenai bila jangkaan negara boleh beralih ke fasa endemik sepenuhnya, Khairy berkata, perkara itu berdasarkan mutasi virus Covid-19.
“Kita melihat bahawa selepas beberapa bulan atau tahun virus itu akan tenggelam dengan sendirinya tetapi dalam kes Covid-19 kita tak tahu ke arah mana mutasinya membawa virus itu.
“Ada kemungkinan mutasinya membawa virus itu ke arah lebih bahaya kepada manusia, maknanya mutasi baharu akan sebabkan penyakit lebih serius ataupun ada senario di mana mutasi ini berubah kepada virus yang tidak memberi ancaman kepada manusia,” katanya.