Dos penggalak yang ditawarkan kepada golongan tertentu tidak diwajibkan diambil oleh mereka sekiranya enggan berbuat demikian, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
Beliau berkata dos penggalak itu hanya akan ditawarkan kepada golongan seperti warga emas, mereka yang mempunyai sejarah komorbiditi dan kakitangan kesihatan, selepas enam bulan suntikan dos kedua.
“Pengambilan dos penggalak selepas enam bulan menerima dos kedua kepada golongan berkenaan tidak akan diwajibkan.
“Kita tidak akan paksa mereka ambil dos penggalak dan status vaksinasi mereka yang sudah lengkap ambil dua dos juga tidak akan terkesan.
“Kita tak akan paksa tapi sangat digalakkan selepas enam bulan daripada dos kedua, tampil menerima dos penggalak disebabkan kita rasa ada sedikit penurunan dalam tindak balas imun vaksin yang diberi,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Sementara itu beliau yakin semua negeri kecuali Sabah akan mencapai kadar vaksinasi 80 peratus bagi individu dewasa.
“Semua negeri diunjurkan mencapai 80 peratus kadar vaksinasi bagi individu dewasa menjelang Oktober ini.
“Namun, hanya satu negeri yang sukar untuk mencapai 80 peratus iaitu Sabah berdasarkan jumlah individu dewasa yang semakin berkurangan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya.
Katanya, beliau sudah meminta Pengarah Kesihatan Sabah untuk mempertingkatkan program capaian (outreach) dan kempen.
“Sudah tidak ramai individu dewasa tidak datang ke PPV. Kita kena usahakan sumber yang ada pada kita untuk menggerakkan ‘outreach’ bagi memastikan Sabah mencapai nilai ambang 80 peratus.
“Bagi negeri lain yang masih belum merekodkan kadar 80 peratus kadar vaksinasi individu dewasa seperti Kelantan, Kedah dan Perak, kami yakin dapat mencapai kadar berkenaan pada Oktober ini,” katanya.