Tak tanya Najib sebab beri RM9.5 juta kepada Muhammad Shafee

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau tidak pernah berjumpa Datuk Seri Najib Razak untuk mengesahkan tujuan pemberian dua cek bernilai RM9.5 juta kepada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 2013 dan 2014.

Mohamad Farid Jabar, 37, ketika memberi keterangan dalam kes Muhammad Shafee yang dituduh menerima wang hasil kegiatan haram RM9.5 juta dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Memetik laporan BH, beliau juga memaklumkan tidak menerima invois berhubung pembayaran RM9.5 juta itu.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee, Harvinderjit Singh di Mahkamah Tinggi hari ini, pegawai SPRM itu berkata, beliau juga tidak pernah bertanya atau mengeluarkan notis kepada Tetuan Shafee & Co untuk mengemukakan invois berkaitan pembelian sebarang aset.

Sebelum ini, Penolong Pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir, 49, dalam keterangannya, memberitahu bahawa Muhammad Shafee menggunakan dua cek berkenaan untuk membeli sebuah banglo di Bukit Tunku, di Kuala Lumpur.

Muhammad Shafee, 70, didakwa menerima wang RM9.5 juta hasil kegiatan haram daripada Najib, masing-masing RM4.3 juta dan RM5.2 juta pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014 ketika perjumpaan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, selain dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada LHDN.

RM9.5 juta itu dikatakan bayaran bagi khidmat nasihat guaman yang diberikan tertuduh kepada Najib, parti dan Perdana Menteri kerana khidmat guaman kepada klien daripada Barisan Nasional atau UMNO untuk 46 fail petisyen pilihan raya dari 2004 dan 2006.

Mohamad Farid turut mengaku tidak melakukan sebarang penyiasatan ke atas fail guaman di tetuan berkenaan serta tidak mengambil sebarang keterangan dari mana-mana anak guam Muhammad Shafee.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Afzainizam Abdul Aziz.

Harvinderjit kemudian bertanya Mohamad Farid jika dia ada diberitahu bahawa cek bernilai RM9.5 juta dikeluarkan Najib itu adalah kerana tertuduh bertindak sebagai TPR dalam kes rayuan liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saksi berkenaan menjawab ringkas: “Tidak”.

Pada 11 Mac 2015, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu Dewan Rakyat bahawa Muhammad Shafee menerima bayaran berjumlah RM1,000 daripada kerajaan sebagai TPR dalam kes Anwar.

Ditanya atas dasar apa aduan kes Muhammad Shafee dibuat, pegawai SPRM itu berkata, dia membuat aduan atas arahan seorang lagi pegawai dan penerimaan dokumen berkaitan cek berkenaan.

“Saya juga sudah merakam keterangan Muhammad Shafee sebanyak tiga kali,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 12 Mei ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR