Tak semestinya pulih Covid-19, akan sihat badan seperti sebelum terkena jangkitan

Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 semakin kritikal.

Penderitaan menghadapi jangkitan Covid-19 tidak hanya akan berakhir setelah bebas daripada penyakit itu, malah ia memberi kesan lanjutan misalnya akan kerap demam dan sering lemah badan.

Kesan itulah yang dialami bekas pesakit itu Muhammad Shamil Shamsairul Haidi yang kini masih berjuang untuk mengembalikan kehidupan normalnya seperti dahulu, lapor harian Metro.

Muhammad Shamil, 22 yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, selain dirinya dia juga percaya kesan sampingan jangka panjang itu turut dialami segelintir bekas pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, Muhammad Shamil mengakui masih boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa malah sudah pulang ke kampus bagi meneruskan sesi pengajian.

Justeru, Muhammad Shamil, turut mengambil inisiatif bagi menyedarkan masyarakat awam tentang bahaya penyakit berkenaan.

Katanya, Covid-19 memberinya banyak pengajaran dalam hidup maka dia berkongsi pengalaman dilalui di laman sosial sebagai satu bentuk pengajaran kepada masyarakat.

“Covid-19 boleh menjangkiti sesiapa saja jadi kita semua tidak kira muda atau berusia perlu berwaspada.

“Cuma, masalah dihadapi bekas pesakit adalah stigma negatif segelintir masyarakat dan ia terjadi kepada ibu saya sendiri yang pernah dihalau ketika menjejakkan kaki ke sebuah surau walaupun selepas bebas daripada penyakit itu.

“Diharap, masyarakat beri sokongan dan saya sendiri akan ambil inisiatif memberi kesedaran supaya tiada stigma sebegitu,” katanya.

Terdahulu berkongsi pengalaman dijangkiti penyakit itu, Muhammad Shamil yang juga anak sulung daripada lima beradik itu berkata dia disahkan positif Covid-19 pada 23 April lalu.

Katanya, bukan dia seorang tetapi seluruh ahli keluarganya yang menetap di Rawang, Selangor turut dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri majlis kenduri saudara mereka di Kajang.

“Kami sekeluarga jarang keluar rumah jika tiada urusan penting tetapi menghadiri kenduri berkenaan bagi memenuhi undangan.

“Kami sudah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika hadir ke majlis itu tetapi tanpa diketahui, ada tetamu lain yang positif.

“Menyedari hal itu, bapa saudara saya selaku penganjur melakukan ujian swab terlebih dulu diikuti ayah dan kedua-duanya positif Covid-19. Selepas itu, saya, ibu, adik beradik dan nenek lakukan ujian swab dan turut disahkan positif,” katanya.

Menurut Muhammad Shamil, perasaannya bercampur baur selepas disahkan menghidap Covid-19 dan paling merisaukannya adalah apabila memikirkan keadaan bapa, Shamsairul Hadi Khabari, 50 dan neneknya, Siam Saleh, 83 yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana tergolong dalam kategori golongan berisiko.

Muhammad Shamil, kesedihan turut dirasai apabila terpaksa berpisah dengan ibu, Jamilah Abd Wahab dan dua daripada empat adiknya sebaik dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) Serdang, Selangor.

Muhammad Shamil berkata, sepanjang tujuh hari berada di PKRC, dia mengambil tanggungjawab menjaga dua adiknya dan menghubungi ahli keluarga lain setiap hari menerusi panggilan video untuk bertanya khabar satu sama lain.

Selain itu, Muhammad Shamil turut memanfaatkan masa yang ada dengan melakukan aktiviti bersama pesakit lain.

POPULAR