
Menteri Dalam Negeri sementara, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
PKR tidak perlu disalahkan jika ada ahli mereka yang terlibat dalam kegiatan operasi Mossad di negara ini, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menteri Dalam Negeri itu menjelaskan kalau agen perisikan itu merupakan seorang ahli PKR ia tidak bermakna parti itu bersalah kerana parti itu pun tidak membuat semakan terperinci latar belakang individu yang mendaftar menjadi ahlinya.
“Kalau dia jadi ahli PKR pun apa salahnya. Pada saya bukan salah parti sebab parti pun tidak tahu yang orang itu perangai macam mana.
“Apabila seseorang ahli itu mendaftar, kita hanya lihat kepada IC (MyKad) sahaja, bukan semak satu per satu secara terperinci latar belakang orang itum,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata tidak perlu mempolitikkan berhubung isu ejen Mossad tersebut tapi yang penting isu tersebut dimaklumkan kepada rakyat.
“Jadi pada PKR, tak payah takutlah, saya tak menyalahkan PKR tentang mereka yang jadi ejen ini. Tak perlu kita politikkan kerana yang penting ada rakyat Malaysia yang bekerjasama dengan Mossad.
“Itu yang harus kita sama-sama bertanggungjawab dan yang sepatutnya kita maklumkan kepada rakyat,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, pihak polis tidak boleh mendedahkan sebarang risikan dan strategi yang diguna pakai dalam kes tersebut meskipun terdapat desakan daripada beberapa pemimpin parti politik untuk berbuat demikian.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaanpasangan suami isteri yang ditahan selepas didakwa mempunyai hubungan dengan Mossad merupakan anggota PKR serta ada kaitan dengan parti.
Perkara itu bagaimanapun telah dinafikan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang menyatakan dua individu itu bukan anggota mana-mana Cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti.
Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, ejen perisikan Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin dipercayai merupakan aset Briged Hamas al-Qassam.
Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.
Dipercayai mereka yang berusia 30 tahun itu dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis oleh ejen Mossad sekitar 2018, disyaki menjadi dalang kepada rangkaian perisikan Israel di negara ini.