
Petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 melakukan solat jenazah di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Johor Bahru (HSA). - Gambar Bernama
Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan jenazah pesakit Covid-19 tidak perlu ditayamumkan jika urusan itu memberi risiko jangkitan kepada petugas.
Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Ophir berkata mesyuarat jawatankuasa itu telah diadakan pada 7 Ogos lalu dan keputusan itu telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Ogos.
“Sekiranya bahagian forensik Kementerian Kesihatan (KKM) mengatakan ada risiko untuk mandikan jenazah secara fizikal dan tayamum, maka tidak perlu lagi untuk ditayamumkan di atas beg jenazah itu.
“Hanya perlu dikafankan, disolatkan dan dikebumikan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kewajipan untuk memandikan atau tayamum jenazah tersebut gugur sekiranya KKM berpendapat tindakan itu berisiko.
Bagaimanapun katanya penentuan risiko itu ditetapkan oleh Jabatan Forensik hospital masing-masing di Selangor.
“Sekiranya pihak hospital berkata ada risiko jangkitan untuk mandikan secara fizikal biasa, tayamum pun ada risiko itu maka gugur kewajipan, maknanya tidak perlu untuk ditayamumkan di atas beg jenazah,” katanya.