
Ramai pelancong dari China dijangka tiba di Malaysia mencetuskan kebimbangan penularan semula wabak Covid-19. - Gambar Reuters
Malaysia tidak perlu mengenakan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pengembara dari China untuk masuk ke dalam negara, kata Datuk Seri Tiong King Sing.
Menteri Pelancongan itu menegaskan buat masa ini kerajaan tidak perlu mengambil langkah memperketatkan SOP terhadap pengembaran dari China kerana fasa lonjakan penularan kes Covid-19 di negara republik itu sudah terkawal.
“Kita bersyukur, kerana situasi penularan Covid-19 di Malaysia boleh dianggap terkawal. Malah China juga sudah pun melepasi fasa lonjakan jangkitan Covid-19, maka itu mengetatkan SOP sedia ada bukanlah langkah tepat serta berkesan pada ketika ini.
“Angka RM30 bilion yang saya nyatakan sebelum ini adalah bagi menunjukkan betapa besarnya nilai ekonomi bagi sektor pelancongan yang secara khusus membabitkan negara China.
“Ini juga seiring dengan ramalan peningkatan pengembara China ke Malaysia dari tiga juta pada tahun 2019 kepada kira-kira enam juta tahun ini,” katanya dipetik laporan BH.
Jelasnya lagi, kerajaan mengekalkan status quo melibatkan polisi kemasukan pengembara luar negara dan akan memantau dari semasa ke semasa keadaan sekiranya berlaku lonjakan penularan kes Covid-19.
“Setakat ini kita masih kekal dengan status quo dan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa.
“Jika ada perubahan situasi dan keperluan mendesak, sudah tentu kita akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) secara khusus,” katanya lagi.
King Sing berkata, mengikut fakta, Amerika Syarikat (AS) mencatatkan 99 juta jangkitan dan 1.08 juta kematian akibat Covid-19 manakala China 31,000 kematian dengan 10.16 juta kes positif.
“Sebab itu jika kita lihat, negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja tidak memperketatkan kemasukan pengembara dari China.
“Pada masa sama, timbul persoalan mengenai kedatangan pengembara dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Perancis yang turut merekodkan jumlah jangkitan tinggi.
“Jika mengambil kira penduduk China seramai 1.4 bilion, kadar kematian akibat wabak ini ialah 0.002 peratus. Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia pula 5.02 juta dengan 0.7 peratus kematian direkodkan,” katanya lagi.
King Sing berkata, soal diskriminasi perlu dipandang serius dan beliau juga membandingkan negara selain China, yang juga berupaya menjadi negara berisiko tinggi penularan wabak di negara ini.
“Apa yang saya bangkitkan sebelum ini adalah bertujuan memastikan negara tidak mendiskriminasi pengembara dari mana-mana negara sekalipun termasuk China.
“Ini penting demi memelihara hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara luar, lebih-lebih lagi rakan perdagangan Malaysia.
“Langkah mendiskriminasi mana-mana negara tidak seharusnya berlaku kerana ia bukan sahaja menjejaskan hubungan diplomatik, tetapi juga memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di saat negara sedang beransur pulih,” katanya.