
Perintah kawalan pergerakan tidak perlu diadakan sebagaimana sebelum ini. – Gambar Agenda Daily, 18 Jun, 2021.
Negara lebih bersedia untuk menangani gelombang baharu jangkitan Covid-19 tanpa perlu melaksanakan perintah penutupan atau ‘lockdown’ dan sekatan pergerakan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ubat antivirus Covid-19 – Paxlovid – juga boleh mencegah peningkatan jangkitan daripada menjadi lebih teruk.
Sambil menjelaskan kementerian tidak bercadang untuk mewajibkan semula daftar masuk MySejahtera untuk memasuki premis beliau bagaimanapun, menggalakkan pengguna MySejahtera mengaktifkan fungsi MySJ Trace dalam aplikasi mereka apabila berada di kawasan awam.
“MySJ Trace boleh mengesan isyarat Bluetooth dalam kalangan individu yang telah mengaktifkan ciri tersebut. Pengguna akan dimaklumkan jika mereka berada berdekatan dengan kes positif Covid-19.
“Apabila menerima amaran, pengguna boleh memantau keadaan kesihatan mereka, menguji simptom, mengelak kawasan sesak dan mengelak daripada melawat individu dalam kumpulan berisiko tinggi untuk lima hari berikutnya.
“Interaksi MySJ Trace hanya boleh disampaikan kepada pengguna lain selepas pengaktifan daripada kes Covid-19 yang disahkan,” katanya menurut laporan NST hari ini.
Pada 15 Julai, Malaysia mencatatkan 5,230 kes Covid-19, angka harian tertinggi sejak 24 April, dan kes aktif meningkat kepada 42,468 keesokan harinya.
Bagaimanapun, kes harian menurun secara berterusan dari Isnin, apabila negara melaporkan 3,080 kes hari ini.
Awal bulan ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian menjangkakan peningkatan jangkitan selepas mengenal pasti beberapa kes subvarian Omicron BA.5.
BA.5 kini merupakan varian Omicron yang paling mudah menular dan boleh mengelak antibodi manusia.
Dr Noor Hisham berkata BA.2 masih subvarian Omicron yang dominan di Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) kini menumpukan kepada menurunkan kadar kematian Covid-19 dan melindungi individu dalam kumpulan berisiko tinggi.
“Sehingga 11 Julai, terdapat 132 hospital hibrid Covid-19, selain dua pusat kuarantin dan rawatan (PKRC) berisiko rendah untuk merawat pesakit Covid-19.
“Unit Pengurusan Katil sedang mempertingkatkan proses itu. Kami juga memantau kadar penghunian katil melalui sistem Hospital Kesiapsiagaan Krisis dan Pusat Tindak Balas.
“Kapasiti katil untuk Unit Rawatan Rapi (ICU), wad bukan ICU dan PKRC sedang disemak setiap hari. Kapasiti boleh ditingkatkan berdasarkan jumlah kes positif yang dilaporkan setiap hari.”
Jabatan Kesihatan Negeri, katanya akan berhubung dengan kerajaan negeri untuk mengenal pasti tapak PKRC tambahan.
“Kami juga mengoptimumkan perkhidmatan makmal, forensik (termasuk kapasiti bilik mayat), penggunaan ventilator dan tangki oksigen, serta menyimpan peralatan perlindungan diri (PPE), dan bekalan perubatan penting lain.
“Kementerian juga bekerjasama dengan hospital universiti, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, agensi swasta, serta tentera dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memperkukuh akses dan kesinambungan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada orang ramai,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata kementerian juga akan melanjutkan masa dan kapasiti Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) fizikal jika menjangkakan lonjakan kes.