Tak perlu kuarantin bila sempadan Malaysia-Singapura dibuka 1 April

Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang lengkap vaksinasi mulai 1 April ini tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19 termasuk ujian sebelum bertolak dan semasa ketibaan.

Kemudahan ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Pejabat Perdana Menteri Singapura, hari ini.

Kedua-dua pemimpin mengakui bahawa Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik Covid-19 bagi penduduk negara masing-masing.

Memetik Bernama, kedua-dua mereka turut mengambil maklum atas kemajuan yang telah dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara.

Ismail Sabri dalam kenyataan itu pula menyatakan Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula 1 April dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan negara jiran terdekat, Singapura.

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara. Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Ismail Sabri.

Sementara itu, Lee berkata Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek serta hubungan antara rakyat yang kukuh.

“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan Covid-19. Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-dua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kedua-dua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini,” kata Lee.

Kenyataan itu turut memaklumkan kedua-dua pemimpin telah berhubung melalui panggilan telefon hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR