Tak perlu bangga Bajet besar bila berhutang untuk bayar hutang: Dr M

Mantan Perdana Menteri (PM) dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan tidak perlu berbangga dengan peruntukan yang besar diumumkan dalam Bajet 2022 walhal hakikatnya terpaksa berhutang dan ia digunakan pula untuk membayar hutang yang perlu ditanggung sedia ada.

Dr Mahathir berkata peruntukan RM332 bilion yang besar diumumkan akan mengakibatkan hutang lebih besar akan ditanggung kerajaaan selepas ini, bahkan selepas ini kerajaan pada masa depan juga terpaksa menanggung beban hutang yang besar tersebut.

“Kita tidak perlu bangga dengan mengemuka belanjawan yang terbesar dalam sejarah negara. Lagipun ia menjadi besar kerana berhutang besar.

“Dan sebahagian dari wang yang akan dihutang akan diguna untuk bayar hutang, bukan sahaja oleh kerajaan semasa tetapi juga kerajaan-kerajaan yang akan datang kerana menghutang untuk bayar hutang tidak mengurang jumlah hutang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini semasa perbahasan.

Daripada peruntukan RM332 bilion tersebut, Dr Mahathir mendakwa sebanyak RM98 bilion adalah hutang baharu kerajaan.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid melahirkan kebimbangan terhadap keadaan kerajaan bergantung kepada pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang disifatkan sebagai membimbangkan.

Beliau berkata walaupun sijil ketua audit negara bagi 2020 telah dikeluarkan dengan status sijil bersih tanpa teguran, namun beberapa penegasan perkara telah diberikan termasuk isu hutang persekutuan.

“Separuh dari hutang baharu digunakan untuk membayar hutang yang telah matang, sepatutnya ia dibayar dengan lebihan hasil yang ada.

“Namun kita faham, pada 2020 negara menghadapi ancaman Covid-19 dan kerajaan terpaksa mengambil langkah membantu sistem kesihatan dan rakyat untuk menangani Covid-19,” katanya semasa sidang media di Parlimen minggu lepas.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini mendapati sejumlah RM98.058 bilion atau 50.4 peratus daripada keseluruhan RM194.555 bilion pinjaman baharu kerajaan digunakan untuk tujuan membayar balik prinsipal hutang bagi 2020.

Jumlah itu meningkat sebanyak RM15.335 bilion berbanding RM82.723 bilion pada 2019.

Justeru Nik Azman berkata pihaknya mengesyorkan perbelanjaan berhemah dan memastikan semua perbelanjaan pembangunan yang dibiayai dengan pinjaman perlu disempurnakan mengikut masa ditetapkan dengan kos yang munasabah tanpa ketirisan dan pembaziran.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga membangkitkan berhubung isu hutang yang besar ditanggung kerajaan melibatkan syarikat kontroversi ketika era bekas PM, Datuk Seri Najib Razak iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Demikian duit yang dipercayai dicuri dibalikkan kepada pencuri. Konon pihak kerajaan tidak dapat cukup bukti yang duit-duit itu duit kerajaan dari 1MDB.

“Tetapi apakah si pencuri dapat bukti jelas yang menunjuk dari mana dia perolehi duit yang begitu banyak. Kononnya hadiah dari raja negara lain?” soalnya.

1MDB mempunyai hutang terkumpul berjumlah RM32 bilion setakat akhir Jun 2021, menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan minggu lalu.

Untuk rekod, syarikat pelaburan negara kontroversi itu dikaitkan dengan Najib yang juga terpalit dengan pendakwaan di mahkamah melibatkan salahguna kuasa dan penyelewengan.

Bernama melaporkan sejumlah RM12.8 bilion komitmen kewangan dan pembayaran hutang 1MDB telah dilunaskan oleh kerajaan atau Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) menerusi pinjaman dan pendahuluan setakat September lepas yang mencecah hampir RM10 bilion selain penggunaan Akaun Amanah.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, baki terkumpul Akaun Amanah selepas mengambil kira pendapatan simpanan (hibah) adalah berjumlah RM15.3 bilion dan mampu membiayai obligasi 1MDB sehingga 2022.

Obligasi keseluruhan 1MDB berjumlah RM39.3 bilion merangkumi prinsipal sebanyak RM32.2 bilion dan faedah atau bayaran keuntungan atas pembiayaan (RM7.1 bilion).

BERITA BERKAIT
POPULAR