
Harga ayam dijamin tak naik mendadak.
Menjelang sambutan hari raya Aidilfitri tidak lama lagi, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga mendadak melibatkan bahan mentah kawalan seperti beras dan ayam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata yakin tidak akan berlaku kenaikan secara mendadak membabitkan bahan mentah utama seperti ayam, ikan, dan beras kerana harganya dikawal kementerian.
“Saya yakin ia boleh bertahan sebab harga beras ini kita kawal. Jadi tidak mungkin harga beras akan naik RM30 satu kilogram (kg), contohnya sebab harga beras kita kawal. Mungkin kita cuba cari pakej di mana pemain industri Menu Rahmah dapat beras dengan lebih murah.
“Yang kedua harga ayam kita kawal siling pada RM9.40 satu kg malah ada pasar raya jual lebih murah dari harga itu. Jadi tidak mungkin harga ayam tiba-tiba naik mendadak…esok jual RM20 satu kg,” katanya dipetik laporan BH.
Salahuddin berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati harga sayur terkini mengalami penurunan sehingga 30 peratus malah peniaga Menu Rahmah juga boleh menggunakan minyak masak paket bersubsidi untuk tujuan perniagaan.
“Saya rasa itu asas yang kukuh. Jadi kalau tanya boleh tahan atau tidak…bagi saya, selagi mana harga barangan terkawal dan tiada kenaikan melampau selagi itu boleh bertahan.
“Selagi mana ada rahmah dalam hati pemain industri selagi itu jugalah Menu Rahmah ini akan bertahan. Jadi kenapa ada prejudis yang menyatakan Harga Rahmah ini tak boleh kekal?” katanya.
Salahuddin berkata kementerian dalam tahap perbincangan lanjut dengan dua syarikat bagi mengeluarkan plan perlindungan insuran yang sesuai untuk melaksanakan insurans berharga rahmah.
Selain itu, pihaknya juga dijangkakan bertemu dengan pemain industri perbankkan selepas Aidilfitri bagi mengenal pasti jenis-jenis perkhidmatan yang dapat ditawarkan menerusi inisiatif Payung Rahmah.