Tak mahu sistem kesihatan lumpuh, perlahankan penularan Omicron: Khairy

Penularan Omicron mampu melumpuhkan sistem kesihatan negara dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang berusaha keras bagi memperlahankan penularan varian baharu Covid-19 tersebut daripada berleluasa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak menolak kemungkinan besar gelombang baharu penularan varian Omicron bakal dihadapi negara sekiranya tidak mengambil langkah serius untuk menanganinya, malah amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak boleh dipandang ringan kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia meletakkan sandaran kepada beberapa ‘perisai’ ampuh seperti memperluaskan liputan dos penggalak, pemakaian pelitup muka dan sistem pengudaraan yang baik sebagai antara langkah memperlahankan penularan Omicron.

“TRIIS (uji, lapor, pengasingan, maklumkan, dapatkan), MySJ Trace dan kawalan pintu masuk antarabangsa juga antara langkah yang diambil kerajaan.

“Ada yang rujuk data kesan Omicron tidak seteruk Delta. Nampak begitu. Tetapi kebolehjangkitan Omicron melebihi Delta.

“Jika denominator (penyebut angka) kes lebih besar, sudah pasti kemasukan hospital dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat.

“Kementerian Kesihatan mahu elak sistem kesihatan awam lumpuh menerusi strategi memperlahankan (gelombang) Omicron,” katanya menerusi kenyataan di Twitter, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM), Sabtu lalu memaklumkan, sebanyak 62 kes COVID-19 varian Omicron dikesan di Malaysia, dengan 61 kes adalah jangkitan import dari luar negara, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki jangkitan tempatan.

Mengikut taburan data negeri pula, Omicron hari ini dilaporkan di Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Khairy juga baru-baru ini mengumumkan langkah drastik bagi membendung penularan varian baharu tersebut, antaranya langkah menangguhkan kebenaran mengerjakan umrah bermula 8 Januari ini.

Langkah tersebut diambil memandangkan terdapat tren jangkitan dikalangan jemaah yang baharu pulang dengan orang awam.

BERITA BERKAIT
POPULAR