Tak logik 10,000 warga Malaysia terkandas di Thailand: Wisma Putra

Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini menegaskan dakwaan terdapat 10,000 orang rakyat Malaysia masih berada di Thailand secara tidak sah atau tinggal lebih masa adalah tidak berasas sama sekali dan jika pun ada, jumlahnya adalah jauh lebih kecil.

Wisma Putra berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, Kementerian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menghulurkan bantuan kepada lebih 2,439 warga Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air, lapor Bernama.

“Berdasarkan rekod Konsulat Jeneral, sehingga kini, hanya terdapat 72 warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan.

“Bilangan ini adalah sebahagian daripada 444 warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu mengulas laporan media tempatan yang mendakwa lebih 10,000 rakyat Malaysia terperangkap di Thailand dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana pas sempadan mereka telah tamat tempoh.

Media melaporkan keadaan itu berlaku kerana mereka memasuki negara jiran itu sebelum pelaksanaan PKP pada Mac 2020 dan gagal pulang ke tanah air disebabkan pintu sempadan ditutup.

Kementerian berkata Kerajaan Thailand pada Februari 2021 telah mengumumkan semua warganegara asing yang memegang visa pelancong atau visa jangka pendek untuk meninggalkan negara itu atau akan dikenakan penalti sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

“Lanjutan daripada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand telah membantu daripada segi pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk memohon pelanjutan tempoh visa di Thailand.

“Manakala Sijil Perakuan Cemas telah dikeluarkan kepada pemegang Pas Sempadan yang telah luput bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia,” katanya.

Warganegara Malaysia di Thailand yang terkesan akibat penutupan sempadan kedua-dua negara dan memegang dokumen perjalanan yang telah luput dinasihatkan untuk hadir ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi membolehkan pihak konsulat menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini boleh dikemukakan secara terus kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian (6674) 311 062 / 316 274 ataupun Email [email protected]

BERITA BERKAIT
POPULAR